AM

Lebih 400 Penjaja, Peniaga Tamu Donggonggon Terima Sumbangan Kanopi

13/11/2024 09:10 PM

PENAMPANG, 13 Nov (Bernama) -- Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick hari ini menyampaikan sumbangan kanopi kepada 434 peniaga kecil dan penjaja Tamu Donggongon di sini.

Ahli Parlimen Penampang itu berharap kanopi yang nilai keseluruhan berjumlah RM66,000 itu dapat memberi manfaat kepada peniaga untuk meneruskan aktiviti perniagaan di kawasan baharu itu sementara kerja-kerja menaik taraf kawasan Tamu Donggongon dijalankan.

Beliau berkata semua peniaga berkenaan yang sebelum ini berniaga di Tamu Donggongon, telah dipindahkan sementara ke tapak baharu di kawasan Tugu Peringatan Datuk Peter Mojuntin.

“Saya berharap projek penaiktarafan Tamu Donggongon itu dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan supaya peniaga-peniaga ini dapat kembali berniaga di tamu tersebut dengan kemudahan yang lebih selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kanopi kepada wakil penjaja dan peniaga kecil-kecilan Tamu Donggongon di sini hari ini.

Ewon berkata kos pembangunan semula Tamu Donggongon melibatkan peruntukan RM8.5 juta dan beliau mahu supaya kerja-kerja menaik taraf kawasan berkenaan disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Sementara itu beliau berharap Majlis Daerah Penampang akan dapat mengurangkan kadar caj kawasan meletak kenderaan di Penampang bagi mengurangkan beban pengguna khususnya kepada peniaga Tamu Donggonggon.

"Dengan pemindahan (peniaga) kesesakan (kawasan meletak kereta) pasti berlaku, kita ingin mendengar daripada semua pihak tetapi dalam masa sama saya menyokong MDP untuk mencari sumber (pendapatan) baharu selain caj meletak kenderaan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan