EKONOMI

Hong Kong Buka Pintu Untuk Perniagaan Malaysia Terokai Pasaran GBA

14/11/2024 01:42 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Syarikat-syarikat Malaysia digalakkan untuk memanfaatkan kedudukan strategik Hong Kong sebagai pintu masuk untuk menubuhkan dan mengembangkan sayap mereka di Greater Bay Area (GBA) Guangdong-Hong Kong-Macao.

GBA terdiri daripada 11 bandar utama termasuk Wilayah Pentadbiran Khas (SAR) Hong Kong dan Macao, Shenzhen, Guangzhou dan tujuh bandar lain di Wilayah Guangdong, Tanah Besar China.

Rantau itu merupakan salah satu zon ekonomi yang paling dinamik di dunia, menawarkan peluang yang luas untuk perniagaan yang ingin berkembang di China dan di seluruh Asia.

Pesuruhjaya Pembangunan GBA Maisie Chan menekankan bahawa Hong Kong berfungsi sebagai pintu masuk antarabangsa terbaik ke GBA dan pangkalan yang ideal untuk syarikat Malaysia, dengan kumpulan bakat yang membolehkan mereka mengakses potensi pasaran yang luas dan besar di rantau itu.

Beliau berkata pembangunan GBA telah memasuki fasa baharu, bercirikan kelajuan yang lebih tinggi dan skop pembangunan yang lebih luas.

"GBA dilaksanakan di bawah 'satu negara, dua sistem, tiga mata wang dan tiga wilayah kastam yang berasingan', yang merupakan sesuatu yang belum pernah berlaku di seluruh dunia.

"Kerajaan Hong Kong dan SAR Macao bersama-sama dengan Wilayah Guangdong, sedang giat melaksanakan dasar inovatif untuk memudahkan aliran efisien faktor-faktor utama pengeluaran iaitu orang, barangan, modal dan maklumat dalam GBA," katanya.

Sebagai contoh, mulai Disember tahun lepas, langkah pemudahcara Kontrak Standard GBA telah dilaksanakan untuk menyelaraskan pengaturan bagi aliran maklumat peribadi merentas sempadan dari bandar-bandar tanah besar GBA ke Hong Kong.

Kos pematuhan aliran data peribadi merentas sempadan boleh dikurangkan dengan banyak, sekali gus menggalakkan lebih banyak perkhidmatan rentas sempadan untuk memanfaatkan orang ramai dan perniagaan dalam GBA.

Chan berkata rancangan itu mula-mula dilaksanakan secara perintis untuk sektor perbankan, rujukan kredit dan penjagaan kesihatan yang membolehkan individu dan organisasi Hong Kong dan bandar-bandar besar GBA memasuki kontrak standard dengan mengguna pakai templat piawai secara sukarela.

“Rancangan ini telah diperluaskan kepada semua sektor mulai November tahun ini. Ini adalah salah satu kemudahan yang dilaksanakan untuk meningkatkan aliran data antara bandar-bandar di tanah besar dan Hong Kong.

“Kami akan terus mencari inovasi dan penemuan penting bersama-sama dengan Guangdong dan Macao untuk meningkatkan lagi aliran orang, barangan, modal dan maklumat dalam GBA serta mewujudkan peluang baharu untuk perusahaan asing di Hong Kong bagi mengakses pasaran GBA,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Promosi Pelaburan InvestHK Alpha Lau berkata Hong Kong adalah pintu masuk penting ke GBA kerana bandar itu mempunyai persekitaran perniagaan yang paling komprehensif, sistem perundangan dan pasaran kewangan yang mantap dan satu siri dasar yang membolehkan syarikat-syarikat Hong Kong menjalankan perniagaan di Tanah Besar China.

Beliau turut menekankan kepentingan kestabilan untuk perniagaan, terutamanya dengan ketidaktentuan semasa dalam dunia kewangan.

"Adalah lebih mudah bagi masyarakat antarabangsa menggunakan Hong Kong untuk memasuki seluruh GBA. Sudah tentu perniagaan boleh masuk secara langsung, tetapi perbezaan dalam bahasa, adat, sistem dan amalan perniagaan akan mewujudkan halangan tambahan.

"Selain itu, Hong Kong mengenakan cukai yang lebih rendah dan tiada tarif berbanding GBA yang lain. Kestabilan undang-undang dan kebolehcapaian Hong Kong menjadikannya ideal untuk perniagaan, terutamanya yang beribu pejabat di Malaysia bagi menubuhkan pejabat di sini atau di GBA," katanya.

Lau menyatakan peranan Hong Kong sebagai hab dalam GBA disokong oleh ketersambungan dan infrastruktur canggihnya membolehkan syarikat beroperasi merentasi pelbagai bandar dan sektor.

Mengulas mengenai subsidi, beliau berkata Hong Kong menawarkan subsidi untuk syarikat pemula niaga terutamanya yang terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan, syarikat yang bekerjasama dengan universiti, serta perusahaan kecil dan sederhana yang mengguna pakai teknologi yang memberi manfaat kepada sektor-sektor seperti pembuatan.

"Kerajaan memberi subsidi kepada mana-mana syarikat yang ditubuhkan di Hong Kong. Jika warga Malaysia menubuhkan syarikat di sini, ia layak diiktiraf sebagai entiti Hong Kong, tanpa mengira kewarganegaraan pemegang sahamnya.

"Mereka (syarikat) tidak dihadkan oleh kewarganegaraan pemegang saham. Kami melihatnya semata-mata berdasarkan merit industri yang anda tawarkan dan penyelidikan yang anda lakukan," katanya.

Lau berkata kerajaan Hong Kong kini menumpukan kepada empat sektor teknologi utama: sains hayat, kecerdasan buatan dan sains data, teknologi kewangan, pembuatan termaju dan tenaga baharu.

Selain sokongan kerajaan, beliau berkata sektor swasta Hong Kong memainkan peranan utama dalam menarik pelaburan, terutamanya untuk syarikat-syarikat baru muncul.

Dengan pasaran tawaran awam permulaan (IPO) yang kukuh dan perjanjian dengan bursa saham global yang lain, Hong Kong menawarkan pilihan bagi penyenaraian sekunder yang lancar.

Pada masa yang sama, Lau juga berkata kini semakin banyak perniagaan Malaysia di Hong Kong, yang menggunakan bandar itu sebagai pangkalan untuk mengakses GBA dan wilayah lain di China.

Bagaimanapun, beliau menggalakkan lebih ramai perniagaan Malaysia untuk meneroka peluang di Hong Kong terutamanya dalam pasaran halal.

"Kami memerlukan lebih banyak restoran halal, produk makanan dan perkhidmatan. Dan siapa yang lebih baik untuk memenuhi permintaan ini kalau tidak daripada usahawan Malaysia. Peluang ini sangat besar," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan