AM

JPJ Perluas MyLesen B2 Kepada Pelajar IPT, Kolej Awam Dan Sekolah

14/11/2024 04:21 PM

KUALA TERENGGANU, 14 Nov (Bernama) -- Program MyLesen B2 akan dikembang dan difokuskan kepada golongan pelajar institut pengajian tinggi (IPT), kolej awam dan sekolah yang kurang berkemampuan pada tahun hadapan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli berkata ia selaras dengan hasrat Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk membantu penuntut IPT dan golongan pelajar berusia 16 tahun ke atas mendapatkan lesen motosikal.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya sedang memperincikan beberapa perkara termasuk mengenal pasti IPT terlibat dan agihan kuota mengikut negeri.

"Saya sudah mengadakan perbincangan dengan pihak Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk kerjasama dan pendekatan baru iaitu MyLesen B2 akan dikembangkan ke institusi ini.

"Ia akan beri manfaat kepada pelajar kurang berkemampuan. Kita sedang memperincikan bagaimana agihan kuota dan bilangan (penerima) bagi setiap negeri untuk pelaksanaan program ini," katanya selepas program MyLesen B2 Peringkat Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin di sini hari ini.

Sementara itu, Aedy Fadly berkata JPJ telah mengeluarkan 37,708 saman melalui Ops Khas Motosikal bermula 1 Nov lepas di seluruh negara.

Beliau berkata saman tersebut dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 136,068 motosikal sepanjang tempoh 13 hari operasi berkenaan.

"Selain notis saman, JPJ juga menyita 1,014 buah motosikal yang didapati tidak memiliki insurans, cukai jalan dan melakukan pengubahsuaian ekstrem.

"Kita akan teruskan operasi ini secara berterusan hingga akhir Disember ini untuk mendidik pengguna motosikal tentang undang-undang jalan raya demi keselamatan mereka serta pengguna jalan raya yang lain," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan