AM

Johor Peruntuk RM2 Juta Naik Taraf Tiga Klinik Kesihatan

15/11/2024 04:26 PM

JOHOR BAHRU, 15 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan RM2 juta bagi menaik taraf fasiliti di tiga klinik kesihatan (KK) yang menghadapi isu daif, uzur dan sesak. 

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata peruntukan bagi penyelesaian jangka masa pendek itu melibatkan KK Gelang Patah di Iskandar Puteri serta KK Majidee dan KK Tebrau, di sini.

“Susulan lawatan saya ke KK Gelang Patah, saya telah mengadakan perjumpaan (dengan pihak terlibat) bagi membincangkan isu KK yang daif, uzur dan sesak di tiga KK berkenaan.

“Dalam perjumpaan ini, kami membincangkan pelbagai isu dan mencadangkan penyelesaian secara berfasa untuk menangani masalah tersebut. Bagi jangka masa pendek, kerajaan negeri bersetuju menyediakan peruntukan RM2 juta untuk menaik taraf fasiliti di KK terlibat,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi hari ini.

Beliau berkata peruntukan berkenaan melibatkan naik taraf kerusi di ruang menunggu, meja dan kerusi untuk doktor serta jururawat, mesin ultrasound, pendingin hawa, kipas dinding, komputer, mesin pencetak dan ambulan.

Sementara itu, Onn Hafiz berkata kerajaan negeri turut memperuntukkan RM1 juta bagi  penyelesaian jangka masa sederhana iaitu pemindahan perkhidmatan Klinik Ibu & Anak KK Gelang Patah ke premis lain untuk menampung keperluan dan kepadatan penduduk.

Beliau berkata Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) turut memperuntukkan RM1 juta untuk kemudahan tempat letak kereta orang awam di KK Gelang Patah.

Bagi langkah penyelesaian jangka masa panjang pula, ia melibatkan pembinaan KK Gelang Patah, KK Majidee dan juga KK Kulai baharu, yang tapaknya telah pun dikenal pasti.

Pada masa sama, beliau berkata kerajaan negeri yakin dengan bantuan dan sokongan Kerajaan Persekutuan, isu melibatkan KK yang daif dan uzur seumpama itu dapat diselesaikan.

Bulan lepas susulan lawatan ke KK Gelang Patah, Onn Hafiz melahirkan rasa sedih dan kecewa dengan keadaan KK berkenaan yang daif, dan menyentuh isu berkaitan ruang klinik yang sesak dan sempit, fasiliti seperti kerusi, kipas dan pendingin hawa yang usang dan rosak di ruang menunggu, parkir kenderaan yang terhad dan tidak tersusun serta kekurangan aset seperti mesin ultrasound dan komputer.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan