KOTA BHARU, 16 Nov (Bernama) -- Sebanyak tiga kematian direkodkan akibat demam denggi di Kelantan setakat 9 Nov lepas, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin.
Beliau berkata tiga kes kematian itu melibatkan seorang lelaki berusia 32 tahun di Gua Musang pada 24 April, seorang lelaki berusia 25 tahun di Bachok pada 24 Julai dan seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun di Kuala Krai pada 24 September lepas.
“Dalam tempoh itu juga, sebanyak 3,003 kes demam denggi dilaporkan di Kelantan dengan peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding 2,503 kes dalam tempoh sama tahun lepas.
“Kes denggi pada tahun ini adalah lebih rendah berbanding jumlah kes denggi sebelum pandemik COVID-19 iaitu penurunan 20.5 peratus berbanding kes denggi pada 2020 (3,780 kes) dan penurunan 43.1 peratus (5,281 kes) berbanding kes denggi yang dicatatkan pada tahun 2019,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau menyatakan kejadian wabak denggi dilaporkan sehingga 9 Nov tahun ini adalah sebanyak 190 berbanding 198 pada tempoh yang sama tahun lepas.
“Daripada 190 wabak denggi yang dilaporkan, 177 telah tamat, manakala 13 masih aktif. Pada tahun ini, sembilan kawasan panas wabak (melebihi 30 hari) telah berlaku di Kelantan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial