AM

APM Kelantan Laksana Pelbagai Program Siap Siaga Hadapi Banjir

16/11/2024 06:08 PM

KOTA BHARU,  16 Nov (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kelantan melaksanakan pelbagai program kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana banjir di negeri ini berikutan Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh.

Antara program yang diadakan Taklimat dan Bengkel Koordinasi Persediaan Menghadapi Bencana Banjir, Latihan Pengenalan dan Pengendalian Bot, Misi Menyantuni Penduduk Rentan Banjir, serta Bengkel Latihan Rawatan Kecemasan Bencana.

Pengarah APM negeri Kol Mohd Adzhar Mujab dalam kenyataan hari ini berkata kesemua aktiviti itu diadakan bertujuan meningkatkan tahap kesediaan dan keselamatan komuniti dalam menghadapi bencana banjir.

Beliau berkata APM telah melakukan persiapan rapi bagi menghadapi kemungkinan banjir besar pada kali ini dengan 900 anggotanya kini berada dalam keadaan bersiap-sedia.

Sementara itu, APM bersama Persatuan Orang Kota Bharu dan H Elite Design Hotel hari ini  menganjurkan Larian Amal Monsun 2024 bagi meningkatkan kesedaran terhadap ancaman banjir yang melanda hampir setiap hujung tahun di Kelantan.

Acara tersebut menarik kira-kira 700 penyertaan dengan dua kategori iaitu 2.8 kilometer (km) dan 5.8 km dan peserta larian dilepaskan Tengku Puan Temenggong Kelantan Tunku Puan Sri Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan