AM

Perluas Kerjasama Global Dalam Pendidikan, Tolak Tanggapan Lapuk - PM Anwar

18/11/2024 09:42 AM

Daripada M.Saraswathi

RIO DE JANEIRO (Brazil), 18 Nov (Bernama) -- Tanggapan lapuk bahawa pelajar perlu bergantung sepenuhnya kepada negara atau universiti terkemuka tertentu untuk pendidikan semakin tidak relevan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Beliau berkata perkara berkenaan antara topik yang dibincangkan dalam pertemuan dengan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva pada Ahad.

“Kami turut bersetuju untuk menjalin kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan dari segi pendidikan.

“Hal ini kerana pemikiran lapuk yang menganggap terlalu bergantung kepada negara dan universiti tertentu, saya rasa, bukan lagi relevan, terutama sekali dengan kehendak dan perkembangan semasa," katanya ketika menghadiri sambutan penerokaan minyak daripada kapal terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) Yinson Holdings Bhd Malaysia, Maria Quitéria, yang berjaya memperoleh pengeluaran minyak pertamanya pada 15 Okt lepas.

Sehubungan itu, Anwar berkata kementerian berkaitan termasuk pendidikan tinggi, kini perlu melihat kemungkinan untuk menjalin kerjasama antara universiti serta dalam bidang penyelidikan dan pembangunan.

“Ini bermaksud kita akan ada banyak lagi hubungan, komunikasi dan kerjasama,” kata Anwar yang berada di sini sempena lawatan rasmi dan menghadiri Sidang Kemuncak G20.

Justeru, Anwar berkata komitmen ke arah memupuk Global South, berpusat dan berkecuali juga harus merangkumi pendidikan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengambil kesempatan mengundang komuniti perniagaan yang hadir pada majlis itu untuk melabur di Malaysia.

“Sudah pastinya kita mengalu-alukan pelabur dari Brazil ke Malaysia.

“Presiden Luiz juga memaklumkan kepada saya bahawa beliau mungkin akan melawat Malaysia semasa mesyuarat ketua-ketua kerajaan ASEAN tahun depan, dan itu akan menjadi keadaan yang sangat baik apabila kapten industri Brazil berpeluang memperluas kerjasama dengan pemain industri Malaysia,” katanya.

Malaysia bersama 16 lagi negara termasuk Chile, Qatar, Mesir, Singapura, Sepanyol, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam antara negara jemputan G20.

G20 terdiri daripada 19 negara dan dua kesatuan iaitu Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Mexico, Rusia, Arab Saudi, Afrika Selatan, Korea Selatan, Turkiye, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU), dan Kesatuan Afrika (AU).

Malaysia dan Brazil meraikan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik tahun ini.

Pada 2023, Brazil yang juga negara terbesar di Amerika Selatan, merupakan rakan dagangan ke-20 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-29 terbesar dan sumber import ke-17 terbesar.

Antara negara Amerika Latin dan Caribbean, Brazil adalah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia, destinasi eksport dan sumber import terbesar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan