EKONOMI

Tiada Rancangan Tutup Operasi Sabah International Petroleum - Masidi

18/11/2024 05:47 PM

KOTA KINABALU, 18 Nov (Bernama) -- Kerajaan Sabah tidak merancang untuk menutup operasi Sabah International Petroleum (SIP) kerana ia kini bebas daripada hutang dan telah menjadi anak syarikat SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE).

Menteri Kewangan negeri Datuk Seri Masidi Manjun berkata hutang SIP telah dilunaskan menerusi proses penstrukturan semula SMJE yang melibatkan pengumpulan dana sebanyak RM900 juta melalui program Sukuk Wakalah.

“Oleh itu, SIP tidak lagi menjadi beban kepada kerajaan dan kini menjana aliran tunai positif serta stabil daripada operasinya,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk menutup operasi SIP memandangkan SMJE sudah diwujudkan.

Mengulas lanjut, Masidi berkata walaupun program Sukuk Wakalah itu terlebih langgan sebanyak 3.9 kali, SMJE buat masa ini tidak merancang untuk menggunakan baki RM10 bilion daripada sukuk tersebut.

Beliau berkata SMJE telah memperoleh portfolio seimbang dan mampu menggunakan dana yang dijana sendiri untuk membiayai operasi semasanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan