KOTA KINABALU, 18 Nov (Bernama) -- Belanjawan Sabah 2025 dan Belanjawan 2025 peringkat Persekutuan dapat dioptimumkan bersama bagi memajukan sektor keusahawanan di negeri ini, persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.
Datuk Ewon Benedick (PH-Kadamaian) berkata Belanjawan Sabah 2025 memperuntukan RM124.7 juta untuk pembangunan sektor perindustrian dan keusahawanan, manakala Belanjawan 2025 menyediakan RM40 bilion untuk skim bantuan dan jaminan pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
“Saya amat yakin melalui Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sabah, peruntukan ini (Belanjawan Sabah 2025) dapat dioptimumkan dan diperkasakan dengan Belanjawan 2025,” katanya.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2025) 2024 (Belanjawan Sabah 2025) pada persidangan itu di sini hari ini.
Beliau berkata Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melalui tujuh agensi di bawahnya telah menyalurkan sebanyak RM953.9 juta pembiayaan dan geran kepada 53,044 perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta koperasi dan usahawan francais di Sabah tahun lepas.
-- LAGI
DEWAN-SABAH (USAHAWAN) 2 (AKHIR) KOTA KINABALU
“Saya menyasarkan jumlah pembiayaan mencecah RM1 bilion tahun ini, sehubungan itu kita akan terus memperkasakan jawatankuasa itu yang saya pengerusikan bersama dengan Luyang (Datuk Phoong Jin Zhe) selaku Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah,” katanya.
Ewon juga mencadangkan agar kerajaan Sabah dapat menyediakan sebuah makmal bagi menguji produk-produk keluaran negeri itu yang memohon untuk persijilan halal.
Beliau difahamkan ketika ini, produk terbabit perlu dihantar ke makmal di Semenanjung untuk proses ujian dan sudah tentu akan menyumbang kepada lanjutan masa memproses persijilan halal.
“Sekiranya makmal ini dapat dibina di Sabah, bukan sahaja masa menguji dan memproses persijilan halal itu akan lebih mudah, tetapi usahawan-usahawan yang telah mendapat persijilan halal ini akan mempunyai akses kepada banyak skim bantuan di Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata bantuan sekali bayar RM5,000 yang diperkenalkan buat pertama kali oleh kerajaan Sabah kepada peniaga kecil tepi jalan yang mempunyai lesen perniagaan yang sah akan melonjakkan pemilikan lesen perniagaan usahawan mikro bukan hanya di tepi jalan tetapi juga di Tamu komuniti.
“Saya mencadangkan kepada kerajaan agar mensyaratkan sebahagian daripada pemberian ini digunakan untuk mencarum di Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi memastikan usahawan mikro ini mendapat perlindungan sosial yang lebih baik,” katanya.
Ewon juga memaklumkan bahawa Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Sabah sedang aktif melaksanakan Program Pendataan dan Pembangunan Usahawan, Penjaja dan Peniaga Kecil (Data PPK).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial