KUANTAN, 18 Nov (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan kebimbangan terhadap penyalahgunaan dadah di negeri ini dan berharap semua pihak khususnya ibu bapa mengawasi anak mereka.
Baginda bertitah menerusi maklumat yang diterima daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) kira-kira 11,750 individu kini berada di bawah pengawasan agensi itu dan daripada jumlah berkenaan sebanyak 57 peratus melibatkan individu berusia lingkungan 15 hingga 30 tahun.
“Sedihnya ia (penyalahgunaan dadah) melibatkan anak-anak kita sendiri, sudah sampai masanya ibu bapa di Pahang tidak kira anak terlibat atau tidak terlibat, bangkit untuk bantu dengan berilah nasihat sewajarnya… angka berkenaan membimbangkan, saya bimbang jika tidak diawasi mungkin (bilangan penagih) bertambah.
“Ada beberapa daerah tertentu perlu diberi perhatian, antara sebab mereka terlibat antaranya bermula dengan rokok kemudian vape (rokok elektronik) yang rosakkan kesihatan… saya akan nyatakan kepada pihak kerajaan supaya alat vape ini perlu diharamkan secara total," titah baginda.
Bagi mengekang penyalahgunaan dadah, baginda bertitah semua pihak perlu berganding bahu memerangi masalah terbabit.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) 2024 di sini hari ini yang menyaksikan seramai 52 orang menerima anugerah masing-masing.
Turut berangkat, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Panglima Raja Brig Jen Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Sementara itu, Al-Sultan Abdullah bertitah agar kurikulum di semua madrasah dan pondok di negeri ini dapat diselaraskan supaya tiada pelajar ketinggalan dari segi pencapaian akademik.
Justeru, baginda menitahkan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Negeri Pahang (MUIP), Yayasan Pahang, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) dan Univerisiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) membantu madrasah dan pondok berkenaan.
Baginda turut menzahirkan perasaan kagum dan bangga selain mengucapkan tahniah kepada bekas pelajar MTNP dan guru atas pelbagai kejayaan yang dilakar antaranya muncul sekolah terbaik menerusi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial