DUNIA

Oman Sambut Hari Kebangsaan Ke-54 Dengan Pencapaian Penting

18/11/2024 10:18 PM

MUSCAT (Oman), 18 Nov (Bernama-ONA) -- Oman menyambut Hari Kebangsaan ke-54 pada Isnin, dengan mengetengahkan kemajuan ketara dalam bidang ekonomi, sosial dan pembangunan di bawah kepimpinan Sultan Haitham bin Tarik.

Menurut Agensi Berita Oman (ONA), Kesultanan Oman mencapai kemajuan luar biasa, termasuk mengurangkan hutang awam sebanyak 62.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 kepada 35 peratus menjelang pertengahan 2024 dan mengekalkan lebihan belanjawan berturut-turut.

Perolehan awam mencecah OMR 8.106 bilion menjelang Ogos 2024, mencerminkan pengurusan fiskal yang kukuh dan selari dengan Wawasan Oman 2040.

Selepas 73 tahun kemerdekaan, kedudukan global Oman bertambah baik, dengan kemajuan dalam indeks ekonomi, inovasi dan alam sekitar.

Projek penting, seperti Loji Penapisan Duqm, loji tenaga boleh diperbaharui dan pelancaran sistem perlindungan sosial, menggariskan komitmen negara terhadap pertumbuhan mampan.

Dalam pendidikan, Universiti Sultan Qaboos naik ke kedudukan 92 ranking dunia dan pelaburan untuk sekolah memperluas lagi akses pendidikan.

Sektor pelancongan dan industri juga mencatatkan pertumbuhan yang pesat, manakala infrastruktur kesihatan terus berkembang dengan pembinaan hospital dan kemudahan baharu.

Di peringkat antarabangsa, Oman mengukuhkan hubungan diplomatik, memperjuang penyelesaian konflik secara aman, dan mengekalkan reputasinya sebagai sebuah hab dialog dan kerjasama.

Hari Kebangsaan ini meraikan pencapaian Oman dan mencerminkan perpaduan dan dedikasi rakyatnya ke arah membina masa depan yang makmur.

Sementara itu, di MALAYSIA, sambutan hari kebangsaan itu disambut dengan satu majlis resepsi  yang dihadiri kira-kira 700 tetamu terhormat, termasuk anggota kor diplomat, pegawai kerajaan, dan diaspora Oman, di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menjadi Tetamu Kehormat pada majlis itu yang menampilkan masakan dan pertunjukan budaya Oman yang meriah.

Turut hadir adalah Duta Oman ke Malaysia, Sheikh Al-Abbas Ibrahim Hamed Al-Harthi.

Dalam ucapannya, Sheikh Al-Abbas mengenang kembali peranan global Oman dan perkongsian strategiknya dengan Malaysia, menekankan hubungan yang kekal dan berkembang antara kedua-dua negara.

-- BERNAMA-ONA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan