PUTRAJAYA, 19 Nov (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) akan menjalankan siasatan lanjut berhubung laporan pelajar dari Thailand yang merentasi Sungai Golok setiap hari untuk bersekolah di Malaysia, kata Menterinya Fadhlina Sidek.
Beliau berpendapat sekiranya mereka merupakan warga Malaysia, perkara berkenaan tidak seharusnya berlaku kerana kerajaan telah menyediakan pelbagai akses dan kemudahan pendidikan buat rakyat.
“"Kalau anak-anak ini adalah warga Malaysia, sepatutnya dia bersekolah dalam Malaysia dan tidak timbul isu dari segi keselamatan mereka untuk menyeberangi sungai itu.
"Tapi kita akan siasat dan ambil maklum mengenai perkara ini kerana bilangan (pelajar yang merentasi sungai) yang didakwa itu sangat tinggi," katanya kepada pemberita selepas majlis pembukaan kedai buku MPH Bookstores pusat beli-belah Alamanda di sini, hari ini.
Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan hampir 500 murid dan pelajar dari Thailand menggunakan pangkalan haram bagi merentasi Sungai Golok setiap hari untuk ke sekolah di Malaysia.
Tinjauan mendapati seawal 6.30 pagi mereka sudah mula menunggu bot untuk ke Malaysia dengan caj bot dikenakan RM1 dengan lima pangkalan haram yang menjadi tumpuan termasuk pangkalan Jambu, Ibrahim Pencen dan Paun.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat semalam dilaporkan berkata polis akan menahan mana-mana rakyat Malaysia yang menggunakan laluan pangkalan haram untuk menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand khususnya di sepanjang Sungai Golok bermula 1 Dis ini.
Mohd Yusoff berkata pihaknya akan mula menggunakan Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/1963 untuk menahan rakyat Malaysia yang pergi ke Thailand menggunakan jalan tidak diwartakan.
Ditanya mengenai pelajar sekolah dari Thailand dan Malaysia yang keluar masuk menggunakan laluan itu untuk belajar di kedua-dua negara, Mohd Yusoff berkata mereka juga perlu masuk secara sah melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.
Beliau berkata perkara berkenaan ada dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa perancangan gerakan negeri berkaitan sempadan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial