Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 19 Nov (Bernama) -- Malaysia memperoleh 24,800 tan getah Vietnam bernilai US$35.2 juta (RM150 juta) dari Januari hingga Oktober 2024 bagi memenuhi keperluan yang semakin meningkat dalam kepelbagaian industri getah negara.
Semalam, Vietnam News Agency (VNA) melaporkan Jabatan Kastam Am Vietnam mendedahkan pada bulan Oktober sahaja, Malaysia mengimport 7,260 tan getah bernilai hampir US$11.5 juta (RM50 juta), menjadikannya pengimport kedua terbesar bagi komoditi tersebut selepas China.
Penganalisis Penyelidikan Ekuiti BIMB Securities Sdn Bhd Nursuhaiza Hashim berkata Vietnam memberi tumpuan kepada pengeluaran getah mentah dengan ladang berskala besar selain kehadiran yang semakin berkembang di pasaran global.
Beliau berkata, sebaliknya, Malaysia telah beralih ke arah industri berasaskan produk dengan penekanan ketara kepada produk getah seperti sarung tangan perubatan dan tayar manakala pengeluaran getah mentahnya telah menurun sejak beberapa tahun lepas.
“Selain sarung tangan dan tayar, industri getah Malaysia juga termasuk pengeluaran kasut, produk lateks, barangan getah am dan pelbagai komponen industri.
"Setiap sektor ini memerlukan jenis dan gred getah yang khusus, sekali gus mendorong keperluan untuk import," katanya kepada Bernama melalui e-mel hari ini.
Malaysia adalah pengeluar getah utama di dunia dengan purata pengeluaran 348,000 tan getah asli setiap tahun manakala negara ini juga mengimport getah untuk mengisi kekurangan bekalan.
Menurut Majlis Getah Malaysia, Malaysia mengeksport getah bernilai RM4.58 bilion pada separuh pertama tahun ini, kebanyakannya dihantar ke China.
Majlis itu berkata negara ini juga memperoleh getah bernilai RM5.93 bilion untuk penggunaan domestik dan kebanyakan komoditi tersebut diperoleh dari negara jiran, Thailand.
Sementara itu, Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Vietnam berkata negara itu mengeksport 1.37 juta tan getah bernilai US$2.18 bilion (RM9.4 bilion) sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini.
Menurut Vietnam Rubber Association (VRA), pihaknya merupakan negara ketiga terbesar di dunia dari segi bekalan getah asli.
Negara itu mengeksport 2.14 juta tan getah dan meraih pendapatan sebanyak US$2.89 bilion (RM12.4 bilion) pada 2023 selain meramalkan eksport getah akan mencapai sekitar US$3.5 bilion (RM15 bilion) menjelang akhir tahun ini.
Dalam pada itu, Kementerian Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Vietnam menetapkan sasaran untuk memperluas kawasan ladang getah kepada 800,000 hingga 850,000 hektar menjelang 2030.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial