KOTA BHARU, 19 Nov (Bernama) -- Sebuah restoran di sini yang telah beroperasi sejak lebih separuh abad dikompaun kerana menggunakan logo halal tidak sah.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail berkata tindakan itu susulan pemeriksaan pihaknya di premis berkenaan pada 12.30 tengah hari semalam yang dilakukan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan.
Beliau berkata premis itu yang terletak di bandar ini didapati mempamerkan logo halal tanpa sijil sah yang menyalahi Perintah 8 (a) Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
“Hasil semakan juga mendapati premis itu pernah memohon sijil halal pada 2011, namun tidak diluluskan. Selain itu, KPDN turut merampas salinan lesen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), salinan lesen pihak berkuasa tempatan serta dua unit gegantung pelekat tertera logo halal dan dua unit papan tanda kedai," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azman berkata jika disabitkan kesalahan bagi pertubuhan perbadanan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM200,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000.
“Jika pesalah bukan pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial