JENAYAH & MAHKAMAH

Hakim Tarik Diri Dengar Kes Saman US$346 Juta 1MDB Terhadap Rosmah

19/11/2024 04:26 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Hakim Mahkamah Tinggi Leong Wai Hong menarik diri daripada mendengar kes saman terhadap Datin Seri Rosmah Mansor berhubung pembelian barangan mewah bernilai lebih US$346 juta, yang didakwa diperoleh daripada penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Leong membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Rosmah supaya beliau menarik diri daripada mendengar kes saman berkenaan.

"Selepas mempertimbangkan permohonan ini, saya bersetuju menarik diri daripada mendengar kes ini berdasarkan prinsip bahawa keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan, tetapi mesti dilihat dilaksanakan. Berdasarkan premis ini, saya membenarkan permohonan ini dan kes akan didengar di hadapan seorang hakim Mahkamah Tinggi yang lain," katanya semasa menyampaikan keputusan hari ini melalui aplikasi Zoom.

Hakim itu berkata dalam afidavit sokongan Rosmah, isteri bekas Perdana Menteri itu menyatakan beliau (Leong) adalah rakan kongsi dan ketua litigasi dan timbang tara di firma guaman Tetuan Skrine dari 2011 hingga 2021.

Beliau berkata Rosmah dalam afidavit sokongannya juga menyatakan bahawa pada masa berkenaan, Tetuan Skrine, yang mewakili plaintif (1MDB) dalam kes ini, mempunyai hubungan dengan saman itu termasuk siasatan ke atas 1MDB dan suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang ketika itu adalah Perdana Menteri.

Pada 9 September, Hakim Mahkamah Tinggi Adlin Abdul Majid menolak permohonan Rosmah supaya hakim menarik diri, dengan menyatakan isteri bekas Perdana Menteri itu gagal membuktikan sebarang bahaya nyata risiko berat sebelah sekiranya beliau terus mendengar kes saman sivil berkenaan.

Hakim Adlin kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi (Bahagian Harta Intelek) dan Hakim Leong mengambil alih kes itu.

Pada 9 Mei, 1MDB dan 10 syarikat lain memfailkan saman terhadap Rosmah berhubung pembelian barangan mewah bernilai lebih AS$346 juta, yang didakwa diperoleh melalui penyelewengan dana 1MDB.

Lima daripada syarikat itu adalah anak syarikat 1MDB iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, Global Diversified Investment Company Limited dan SRC International Sdn Bhd. Lima syarikat lain adalah Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Holdings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited.

Kesemua plaintif menamakan Rosmah dan seorang wanita bernama Shabnam Naraindas Daswani (juga dikenali sebagai Natasha Mirpuri) sebagai defendan pertama dan kedua.

Kesemua syarikat itu menuntut Rosmah membayar AS$346,010,489 atau sejumlah amaun ditaksir oleh mahkamah, selain memohon deklarasi bahawa plaintif pertama hingga keenam mempunyai hak terhadap barangan mewah yang kini didakwa berada dalam simpanan defendan pertama.

Pada prosiding hari ini, Rosmah diwakili oleh Datuk Seri Rajan Navaratnam manakala kesemua plaintif diwakili peguam Datuk Lim Chee Wee.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan