AM

Pegawai Imigresen Tidak Terlibat Insiden Warga Asing Dikasari Di KLIA Terminal 1

20/11/2024 05:15 PM

PUTRAJAYA, 20 Nov (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjelaskan insiden pengembara warga asing dikasari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 tidak melibatkan pegawai daripada jabatan berkenaan.

Ketua Pengarah JIM Datuk Zakaria Shaaban berkata insiden berkenaan membabitkan pengembara warga asing yang dikenakan Notis Penolakan Masuk (NTL).

Beliau berkata setiap pengembara warga asing yang ingin memasuki Malaysia perlu memenuhi syarat kemasukan sebelum diberikan kemudahan Imigresen untuk memasuki negara ini.

“Bagi pengembara warga asing yang tidak dapat memenuhi syarat, satu NTL akan dikenakan berdasarkan Seksyen 24 Akta Imigresen 1959/63.

“Pengembara warga asing yang telah dikenakan notis NTL akan diserahkan kepada syarikat penerbangan untuk diuruskan penghantaran pulang ke tempat embarkasi terakhir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata syarikat penerbangan bertanggungjawab memastikan pengembara yang telah dikenakan NTL untuk dihantar pulang dengan segera.

“Sementara menunggu untuk dihantar keluar, pengembara warga asing yang telah di NTL akan ditempatkan di ruang dikhaskan di holding lounge (HL).

“Ruang ini adalah ruang berhawa dingin, mempunyai kerusi menunggu dan berdekatan dengan kemudahan asas seperti tandas.  Mereka juga diberikan makanan tiga kali sehari oleh syarikat penerbangan,” katanya.

Beliau berkata JIM komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan juga pengembara asing yang memasuki Malaysia.

Sebelum ini, portal berita melaporkan seorang pegawai dipercayai menumbuk muka warga asing yang tidak dibenarkan memasuki negara oleh JIM.

Insiden itu dilaporkan berlaku di sebuah ruang rehat khas untuk warga asing yang diberi status NTL.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan