SUKAN

Piala Malaysia: Perak Mula Bergaya, KDA Belum Selamat

23/11/2024 01:15 AM

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Perak FC membuka kempen Piala Malaysia 2024/2025 dengan bergaya selepas menewaskan Kelantan Darul Naim (KDN) FC 3-0 pada perlawanan pertama pusingan awal di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.

Skuad The Bos Gaurus berjaya merobek gawang KDN FC menerusi penyerang import dari Brazil Clayton Da Silva yang menanduk masuk hantaran Adilet Kanybekov pada minit ke-22 sebelum terpaksa menunggu sehingga penghujung separuh masa kedua untuk menggandakan kedudukan.

Kerja keras anak buah Yusri Che Lah akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya menambah jaringan selepas pemain tengah Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar mudah merembat masuk bola hantaran pendek Da Silva dalam kotak penalti pada minit ke-80.

Pemain tengah gantian Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil melengkapkan kemenangan 3-0 pasukan selepas menyempurnakan penalti pada masa tambahan separuh masa kedua sekali gus menyaksikan Perak membawa bekalan selesa menjelang aksi timbal balik di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, 30 Nov ini.

Sementara itu, di ALOR SETAR, Kedah Darul Aman (KDA) FC menewaskan juara 2021 Kuala Lumpur (KL) City FC 3-2 pada pertembungan yang berlangsung sengit di Stadium Darul Aman.

Pasukan tuan rumah terlebih dahulu dikejutkan dengan gol pembukaan KL City menerusi rembatan deras Lee Kit Seng Lambert pada minit ke-13 sebelum bangkit mendahului 2-1 menerusi dua jaringan ketua pasukan Sony Norde dalam tempoh singkat masing-masing pada minit ke-27 dan ke-30.

Skuad tuan rumah bimbingan Mohd Nafuzi Zain semakin selesa di depan selepas pemain tengah import dari Uzbekistan Sukhrob Nurulloev meledak jaringan ketiga pada minit ke-68.

Namun, sedikit kelekaan menghukum anak buah Mohd Nafuzi selepas pemain tengah import dari Bosnia dan Herzegovina Jovan Motika merapatkan kedudukan buat KL City menerusi rembatan cantik pada minit ke-72.

KL City kendalian Miroslav Kuljanac akan melayani kunjungan KDA FC pada aksi timbal balik di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 1 Dis nanti.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan