EKONOMI

BNM Beri Jaminan Terus Pantau, Urus Ketidaktentuan Susulan Perkembangan Global

20/11/2024 06:59 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus memantau keadaan pasaran kewangan domestik berikutan perkembangan utama global, termasuk susulan pilihan raya presiden Amerika Syarikat serta kebimbangan berkaitan prospek pertumbuhan ekonomi China.

Bank pusat itu juga bersedia untuk menguruskan ketidaktentuan pasaran dan memastikan fungsi pasaran yang teratur selain berpendapat bahawa asas ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia yang kukuh dapat menyediakan penampan terhadap kejutan luaran.

Dalam kenyataannya hari ini, FMC berkata ketidaktentuan itu telah meningkatkan turun naik dalam pasaran pertukaran asing global dan serantau, termasuk ringgit.

“Sejak awal Oktober lepas, nilai ringgit telah turun kepada 4.4792 berbanding nilai sebelum ini, didorong terutamanya oleh pelarasan portfolio bukan pemastautin melalui aktiviti lindung nilai terhadap dolar Amerika Syarikat yang secara amnya kukuh.

“Ringgit juga terus mengatasi prestasi mata wang serantau lain dan mengekalkan prestasi positif berbanding dolar Amerika Syarikat bagi tahun ini,” katanya.

Menjelaskan selanjutnya, FMC berkata pemerhatian utama yang menyokong prestasi positif ringgit termasuk keyakinan pelabur terhadap daya tahan pasaran kewangan domestik kekal kukuh, sepertimana ditunjukkan oleh aliran masuk bukan pemastautin sebanyak US$1 bilion dalam pasaran bon serta US$200 juta dalam pasaran ekuiti setakat tahun ini.

Selain itu, ia turut mendapati pelabur dan syarikat korporat pemastautin terus menjalankan penukaran hasil eksport, pendapatan dan lebihan mata wang asing yang selaras dengan keperluan operasi dan pelaburan.

“Walaupun terdapat peningkatan ketidaktentuan, puratanya tersirat satu bulan bagi ringgit sejak awal tahun sehingga kini dan terus terkawal pada 4.5 peratus (2023: 5.3 peratus), berbanding purata serantau sebanyak 6.0 peratus.

“Pasaran pertukaran asing kekal teratur, dengan mudah tunai yang mencukupi dan jumlah purata dagangan harian yang utuh sebanyak US$17.6 bilion,” katanya.

FMC turut mengalu-alukan usaha penyelarasan berterusan oleh BNM untuk menggalakkan aliran masuk lebih konsisten membabitkan syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan serta libat urus lebih giat dengan syarikat korporat dan perniagaan Malaysia.

Selain itu, jawatankuasa berkenaan turut mengetengahkan usaha BNM mengembangkan program Pelabur Pemastautin Berkelayakan (QRI) yang menawarkan fleksibiliti kepada syarikat korporat pemastautin untuk melabur semula di luar negara selepas membawa balik dana asing.

“Langkah-langkah ini menyokong aliran masuk yang berterusan dan mudah tunai pasaran domestik. FMC juga mengalu-alukan liberalisasi dasar pertukaran asing untuk Bank Pembangunan Pelbagai Hala dan institusi kewangan pembangunan bukan pemastautin bagi menyokong pelaburan di Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan