EKONOMI

Cadangan Tubuh Asian Shariah Stock Exchange Perlu Penelitian, Persetujuan Negara Lain -MITI

21/11/2024 08:25 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) – Cadangan penubuhan "Asian Shariah Stock Exchange" memerlukan penelitian dan persetujuan kesemua negara, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

MITI menjelaskan tiada perancangan ketika ini untuk menubuhkan bursa saham berkenaan sebagai platform dagangan umum bagi mempromosikan ASEAN sebagai pelopor dan peneraju kewangan Islam di peringkat global.

“Perkara ini memerlukan penelitian dan persetujuan kesemua negara. Namun, aspek latihan, penyelidikan dan kewangan Islam akan terus diberikan penekanan dalam usaha mempromosi Malaysia sebagai peneraju global,” kata kementerian itu menerusi jawapan bertulis dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

MITI menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai  Penubuhan "Asian Shariah Stock Exchange”.

Dalam pada itu, menjawab mengenai penubuhan Pusat Pembangunan Latihan dan Penyelidikan Halal ASEAN sebagai agenda kepengerusian ASEAN, MITI berkata kerajaan juga tiada perancangan untuk menubuhkannya.

“Bagaimanapun, negara ini melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) iaitu sebuah program yang bertujuan berkongsi pengalaman dan kepakaran kepada negara-negara membangun telah mengadakan program yang bertajuk Halal: Industry Awareness and Ecosystem Development selama 10 hari bermula daripada 4 Jun hingga 14 Jun 2024.

"Program ini menerima penyertaan dari Thailand seramai tiga orang, Filipina (5 orang) dan Laos seramai tujuh orang.

“Antara aktiviti yang dijalankan adalah latihan asas industri halal, bengkel dan lawatan kerja ke taman industri halal," kata kementerian itu lagi.

Selaras dengan permohonan yang tinggi daripada negara membangun berkenaan halal, kata MITI, HDC telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Luar untuk mengadakan beberapa siri latihan halal di bawah MTCP ini untuk tahun 2025.

Industri halal merupakan salah satu sektor yang menggalakkan pertumbuhan sosioekonomi negara dan menjelang 2030, pasaran halal global dijangka berkembang kepada US$5 trilion manakala pertumbuhan domestik diunjurkan mencecah US$113.2 bilion.

 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan