EKONOMI

Bin Zayed International Komited Labur US$2 Bilion Di Malaysia

22/11/2024 10:55 PM

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Konglomerat pelaburan global, Bin Zayed International Group of Companies (BZI) telah komited untuk melabur US$2 bilion (US$1=RM4.466) di Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengarah Urusan Bin Zayed International (M) Bhd, Datuk Seri Dr Shamir Kumar Nandy berkata sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan strategiknya, kumpulan itu akan memanfaatkan hartanah, tenaga boleh baharu dan perkhidmatan kewangan untuk menarik pelaburan ke Malaysia.

“Terdapat banyak potensi dalam sektor tersebut di Asia Tenggara. Ini adalah sektor yang kita lihat dan US$2 bilion hanyalah penanda aras awal. Ia mungkin lebih daripada itu apabila peluang itu muncul,” katanya kepada pemberita selepas malis perasmian pejabat Malaysia kumpulan itu di Tun Razak Exchange di sini hari ini.

Pengerusi BZI, Sheikh Khaled Zayed Saquer Zayed Al Nahyan menghadiri majlis perasmian itu.

Turut hadir adalah Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul, Pengarah Urusan Kumpulan BZI Sheikh, Midhat Kidwai, ikon Bollywood Datuk Shah Rukh Khan, ahli lembaga pengarah dan kakitangan utama BZI.

Selain Malaysia, BZI juga mempunyai pejabat di Singapura.

Shamir berkata syarikat itu telah memulakan beberapa projek hartanah termasuk satu di Kulim, Kedah, dan dua di Kuala Lumpur.

Ditanya mengenai projek Langkasuka di Langkawi, Kedah, beliau mengesahkan kumpulan itu telah menarik diri daripada projek itu.

“Kami tidak lagi terlibat dengan projek Langkasuka. Sejak 2022, kami memutuskan untuk menarik diri dan memberi tumpuan kepada peluang yang lebih baik, realistik dan potensi lebih besar,” katanya.

Pada 2021, Widad Business Group Sdn Bhd menjalin kerjasama strategik dengan BZI untuk membantu membangunkan pembangunan bercampur RM40 bilion yang dikenali sebagai Widad@Langkasuka di Langkawi.

Selain hartanah, Bin Zayed International telah mengenal pasti syarikat dalam sektor tenaga baharu untuk menyokong rancangan pengembangannya di Malaysia.

“Kami telah mengenal pasti syarikat tertentu dan sedang berunding dengan mereka untuk melihat keperluan mereka dalam menjadikan mereka pemain global secepat mungkin,” kata Shamir.

Terdahulu, Johari Abdul dalam ucapannya berkata kerjasama antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu adalah cerminan hubungan yang semakin erat antara kedua-dua negara.

“Kami percaya dengan kepakaran, visi dan komitmen Bin Zayed International terhadap inovasi, Malaysia akan menjadi hab pusat perniagaan di Asia Tenggara.

“Ketika Malaysia melakukan persiapan sebagai pengerusi ASEAN pada 2025, tumpuan kami pada keterangkuman dan kemampanan akan memacu usaha untuk menggalakkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran bersama di rantau ini,” katanya.

Johari menekankan bahawa kerajaan terus komited untuk bekerjasama dengan sektor swasta untuk mewujudkan dasar memupuk pertumbuhan dan persekitaran perniagaan yang kompetitif di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan