PUTRAJAYA, 22 Nov (Bernama) -- Keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang di Gaza adalah wajar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang mengalu-alukan keputusan ICC itu berkata tindakan badan kehakiman dunia itu adalah berlandaskan hukum, bukti tentang kezaliman, penindasan dan pembunuhan berterusan oleh rejim Zionis berkenaan.
“Jadi kita alu-alukan keputusan itu dan setuju dengan tindakan bahawa kalau ada mana-mana lawatan dia (dua pemimpin Israel itu) ke luar (negara), (dia) harus ditangkap,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Husna Presint 9 di sini hari ini.
Dalam keputusan bersejarah, ICC pada Khamis mengumumkan bahawa waran tangkap telah dikeluarkan terhadap Netanyahu dan Gallant atas tuduhan jenayah perang yang didakwa dilakukan mereka di wilayah Palestin, termasuk Gaza.
Waran tangkap itu dikeluarkan ketika serangan genosid Israel ke atas Gaza baru-baru ini memasuki tahun kedua, dengan jumlah kematian rakyat Palestin menjangkau kira-kira 44,000, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta mencederakan lebih 103,000 yang lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial