JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Menyamar Pelanggan Larikan Jam Rolex Bernilai RM64,000

24/11/2024 04:26 PM

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Seorang lelaki menyamar sebagai pelanggan sebelum melarikan seutas jam tangan jenama Rolex berharga RM64,000 di sebuah kedai di Seksyen 16, Subang Jaya, Selangor, semalam.

Berdasarkan laporan diterima polis, suspek dikatakan telah menunggu di hadapan kedai ketika premis itu sedang dibuka dua pekerja wanita pada 10.40 pagi dan mendakwa telah membuat janji temu melalui telefon.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata sebaik dibenar masuk, suspek kemudiannya bertanyakan beberapa soalan kepada dua pekerja berkenaan mengenai barangan dijual, sebelum tiba-tiba bergegas keluar kononnya mahu mengambil majikannya.

“Seorang daripada pekerja terbabit iaitu yang membuat laporan kejadian ini telah dimaklumkan daripada rakan sekerjanya bahawa jam tangan berkenaan telah hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek dipercayai telah mengambil jam tangan ‘Rolex Datejust 36 Oystersteel and Yellow Gold’ itu dalam rak ketika berada di dalam kedai itu.

Kes katanya disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-7862 7222 atau Pegawai Penyiasat Insp Muhammad Fathurrahman Ampandi di talian 011-29395178 untuk membantu siasatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan