AM

Keselamatan IoT Perlu Diutamakan, Bukan Pilihan - MyIoTA

24/11/2024 08:11 PM

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Banyak syarikat lebih menumpukan kepada teknologi canggih tanpa memberi perhatian sepenuhnya kepada aspek keselamatan, terutama pada peringkat awal seperti ujian konsep atau ujian beta. 

Bendahari Persatuan Internet-of-Things Malaysia (MyIoTA) Pathmanathan Muniandy berkata aspek keselamatan sering diabaikan semasa membangunkan teknologi Internet of Things atau Internet untuk segalanya (IoT).

Keutamaan biasanya diberi kepada kemampuan teknologi mengumpul dan memproses data, tetapi bukan soal melindungi data.

"Contohnya, kes serangan siber terhadap kamera keselamatan Ring (produk syarikat milik Amazon) menunjukkan risiko besar jika aspek keselamatan tidak diutamakan. Ini menimbulkan kebimbangan global tentang privasi dan keselamatan pengguna," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama. 

Pathmanathan menjelaskan, keselamatan IoT perlu dirancang sejak awal pembangunan teknologi dan antara langkah penting ialah menggunakan teknologi penyulitan seperti AES128 atau AES256 untuk melindungi data yang dihantar dan menggantikan kunci keselamatan secara berkala.

"Setiap peranti IoT mesti ada sistem keselamatan yang kuat. Semua sambungan ke pelayan juga perlu melalui port selamat dengan sijil keselamatan," tambah beliau.

Beliau mencadangkan langkah perlindungan daripada serangan siber seperti serangan Distributed Denial-of-Service (DDoS) dengan menggunakan perkhidmatan seperti Cloudflare bagi memastikan sistem terus beroperasi.

Pathmanathan turut menggesa pematuhan kepada standard keselamatan antarabangsa seperti ISO 27001 untuk memastikan infrastruktur IoT selamat dan dipercayai.

"Kami bekerjasama dengan pakar keselamatan global untuk membantu syarikat tempatan dan antarabangsa memastikan keselamatan data berada pada tahap terbaik," katanya.

Seterusnya beliau berkata usaha meningkatkan keselamatan IoT di Malaysia sedang dijalankan, termasuk memperkuat keselamatan pada sistem operasi dan pangkalan data dengan memberi contoh mudah: “Jika pintu utama rumah selamat, kita kurang risau tentang bahagian lain di dalam rumah”.

Pathmanathan menekankan bahawa keselamatan dalam IoT bukan sahaja melindungi data peribadi pengguna tetapi juga memastikan pengguna terus percaya dengan teknologi ini.

"Dalam dunia siber yang semakin mencabar, keselamatan IoT bukan pilihan, tetapi satu keperluan yang tidak boleh diabaikan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan