FOKUS BERNAMA

Vaksinasi Dan Pendidikan Usaha Perangi Penyakit Anjing Gila Di Sarawak

26/11/2024 10:54 AM
Daripada Soon Li Wei

Sebut sahaja rabies atau penyakit anjing gila, mungkin ramai yang membayangkan anjing yang berkelakuan agresif dengan air liur haiwan itu yang meleleh.

Meskipun penyakit ini boleh memberi kesan kepada manusia dan haiwan sehingga membawa maut, namun ia masih boleh dielakkan. 

Di Sarawak (Malaysia), usaha untuk memerangi rabies ini sedang giat diteruskan sejak kemunculannya semula pada tahun 2015 dan keadaan menjadi teruk dengan lebih 70 kes maut melibatkan manusia.

Ini menjadikan keadaan semakin mendesak untuk memerangi penyakit ini kerana ia masih menjadi kebimbangan kesihatan awam yang amat penting

 

PERANG PENYAKIT ANJING GILA SARAWAK: STATISTIK

Pada tahun 2013, Malaysia diisytiharkan bebas rabies, namun pada tahun 2015, penyakit ini kembali dan muncul dari semasa ke semasa.

Tragisnya, 79 kes penyakit ini yang melibatkan manusia dilaporkan dan daripada jumlah itu, 72 kes berakhir dengan kematian.

pic-2

Sejak itu, Jabatan Kesihatan Sarawak meningkatkan usaha dan setakat Jun 2024, empat (4) kes baharu dilaporkan, dan tiga daripadanya berlaku di daerah Kuching.

Sebaik sahaja muncul gejala penyakit ini, mereka yang dijangkiti boleh maut sekiranya tidak dirawat dengan seberapa segera.

Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak Dr Veronica Lugah menasihatkan orang ramai agar dengan kadar segera mendapatkan rawatan selepas dicakar mana-mana anjing atau kucing.

"Segera cuci luka selama 15 minit dan perkara buruk boleh dihindar jika pergi ke klinik yang berhampiran untuk mendapatkan suntikan/vaksinasi penyakit anjing gila, " katanya, sambil mengingatkan orang ramai bahawa rawatan penyakit anjing gila boleh diperolehi di 254 fasiliti kesihatan awam di negeri itu.

SUNTIKAN RABIES: LANGKAH MENYELAMATKAN NYAWA 

Bagi mengelakkan merebaknya rabies, suntikan/vaksinasi adalah usaha penting untuk melindungi haiwan peliharaan dan manusia.

Tahun ini, Sarawak mengambil langkah tegas dengan menjadikan mandatori untuk vaksinasi anjing di bawah Seksyen 40 Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999, dengan mengenakan penalti serta denda sehingga RM1,000 kepada yang ingkar.

Antara Disember 2023 dan Jun 2024, Kementerian Kesihatan Sarawak melaporkan sebanyak 8,219 kes gigitan haiwan (binatang peliharaan dan liar), menyebabkan perlunya peraturan seumpama itu dikuatkuasakan.

Timbalan Penyelaras One Health University Network (MyOHUN), Dr Nur Indah Ahmad menggesa pemilik haiwan peliharaan untuk mendapatkan suntikan bagi haiwan berkenaan, memandangkan rabies boleh merebak dengan pantas menerusi gigitan daripada haiwan yang dijangkiti.

"Binatang peliharaan yang dibiarkan bebas berkeliaran, berhadapan dengan risiko, dan binatang yang tidak disuntik mendedahkan pemiliknya serta anggota keluarga kepada bahaya.

“Mendapatkan suntikan untuk haiwan peliharaan setiap tahun mewujudkan galangan yang menjadikan komuniti selamat, terhindar daripada virus penyakit anjing gila yang boleh membawa maut ini,” beliau memberitahu Bernama. 

pic-3

KEMPEN MENCEGAH RABIES: PENDIDIKAN DAN KESEDARAN 

Bagi melengkapkan usaha vaksinasi, Boehringer Ingelheim Malaysia memperluaskan Kempen HENTIKAN Rabies (STOP Rabies Campaign) dengan kerjasama MyOHUN dan rakan-rakan kongsi utama.

Kempen itu bermatlamat untuk menjangkau lebih ramai anggota masyarakat menerusi pendidikan, terutamanya memberi tumpuan kepada kanak-kanak sekolah. 

Dengan mendidik lebih 3,000 pelajar mengenai pencegahan rabies, kempen itu juga mahu menyemai budaya kesedaran serta tanggungjawab untuk menyekat wabak penyakit itu.

Ketua Bahagian Kesihatan Haiwan Boehringer Ingelheim, Dr Kam Kok Yen menjelaskan mengenai peranan kritikal pendidikan pencegahan rabies.

"Matlamat kami adalah untuk memberi pendidikan kepada generasi akan datang tentang pengetahuan yang mereka perlukan bagi melindungi diri mereka serta keluarga mereka daripada jangkitan rabies.

"Pendidikan, dan vaksinasi serta pengawasan amat penting untuk memerangi penyakit yang boleh dielakkan ini," katanya.

pic-4

Kempen HENTIKAN Rabies ini diperluaskan tahun ini kepada tambahan empat daerah - Lundu, Bau, Kuching dan Kota Samarahan selepas fokus awal di Serian.

Sebagai sebahagian daripada kempen itu, vaksinasi percuma rabies diadakan pada lewat Julai 2024. meliputi Kota Samarahan, Bau dan Serian.

Skop kempen berkenaan sejajar dengan matlamat global untuk mencapai "Sifar menjelang 30," sasaran menghapuskan kematian manusia akibat rabies menjelang tahun 2030.

SATU KESIHATAN (ONE HEALTH): PENDEKATAN BERSATU  

Rabies adalah penyakit zoonosis, yakni penyakit haiwan yang merebak atau menular dari haiwan kepada manusia, menjadikannya contoh utama mengapa pendekatan Satu Kesihatan (One Health) amat penting.

Inisiatif Satu Kesihatan menggabungkan manusia, haiwan dan sektor kesihatan alam sekitar untuk bekerjasama dalam menangani cabaran-cabaran kesihatan.

Presiden MyOHUN, Prof Dr Abdul Rahman Omar menekankan bahawa strategi gabungan itu penting untuk memerangi rabies dengan lebih berkesan.

"Langkah-langkah pencegahan seperti vaksinasi, tanggungjawab pemilik haiwan peliharaan dan pendidikan komuniti adalah tanggungawab yang perlu dipikul semua sektor.

"Menerusi kolaborasi kita dapat mencapai penghapusan rabies," katanya.

Boehringer Ingelheim, di samping rakan kongsi kerajaan dan bukan kerajaan sedang berusaha gigih untuk meningkatkan kesedaran serta kemampanan jangka panjang langkah kawalan rabies di Sarawak.

Usaha bersama mereka termasuk program "Melatih Pelatih" dan pengedaran buku kecil aktiviti di sekolah-sekolah rendah, bertujuan untuk memupuk kesedaran rabies dalam komuniti untuk generasi akan datang.

 

KE ARAH PENGHAPUSAN RABIES MENJELANG 2030

Mewakili Timbalan Perdana Menteri Sarawak, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC), Datu Buckland Bangik, melahirkan sokongan kuat terhadap usaha mengawal rabies.

"Rabies adalah kebimbangan ketara bukan sahaja di Sarawak tetapi global.

"Kerajaan kita komited untuk menghapuskan rabies menjelang tahun 2030 menerusi vaksinasi, jangkauan awam dan program pengawasan," katanya sewaktu kempen HENTIKAN Rabies di Kota Samarahan.

pic-5

Menurut beliau, rabies menyebabkan sekitar 59,000 kematian setiap tahun di lebih 150 buah negara, dan dengan demikian memerlukan tindakan bersama.

Ketika Sarawak memperhebatkan usaha memerangi rabies, kombinasi usaha iaitu vaksinasi, pendidikan dan penglibatan komuniti memberi harapan bahawa negeri itu mampu mencapai sasarannya bebas rabies menjelang tahun 2030.

Perkongsian berterusan antara pihak berkuasa tempatan, pertubuhan antarabangsa dan komuniti menunjukkan pertarungan menentang rabies sebenarnya adalah tanggungjawab semua.

Dengan langkah yang wajar dilaksanakan serta komitmen kepada pencegahan dan kesedaran, Sarawak mengatur langkah untuk bebas rabies pada masa depan - satu vaksinasi pada satu masa.

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan