KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Penjual #JomLokal di TikTok Shop mencatat peningkatan jualan lebih 4.5 kali ganda sempena acara beli-belah dalam talian terbesar 11.11 Mega Sale anjuran platform e-dagang berasaskan kandungan itu.
Antara jenama tempatan yang mencatatkan kenaikan jumlah pesanan berlipat kali ganda adalah Dapur Pak Amir, Shiffa Curry Powder dan Empat Beranak, menurut TikTok Shop dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, pencipta affiliate terkenal Pinn Yang dan Khairul Aming, masing-masing menjana jualan bernilai jutaan ringgit bagi produk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.
Pengarah Kerjasama Strategik TikTok Shop Malaysia Nur Azre Abdul Aziz dalam kenyataan hari ini berkata #JomLokal dilancarkan pada tahun lepas sebagai sebahagian daripada komitmen memperkasakan PMKS Malaysia untuk mencapai kejayaan di TikTok Shop dengan kerjasama agensi serta kementerian.
“Kami berbesar hati menyaksikan kemampuan jenama-jenama tempatan ini mencapai kenaikan jualan lebih 4.5 kali ganda pada 11.11 berbanding hari biasa, serta bagaimana pencipta konten tempatan Pinn Yang dan Khairul Aming memanfaatkan kuasa perdagangan sosial untuk menyokong PMKS tempatan menjana jualan jutaan ringgit pada hari tersebut,” katanya.
Sementara itu, bekas jurutera yang kini bergelar usahawan dan pengasas Dapur Pak Amir, Amir Mohsin berkata sokongan berterusan TikTok Shop kepada PMKS melalui #JomLokal sangat membantu perniagaan kecil seperti perusahaannya untuk memperluas kehadiran dalam talian.
“Kebangkitan e-dagang sosial memberikan peluang unik kepada perniagaan dari semua saiz, walaupun sekecil mana, untuk berkembang…dengan memanfaatkan pencipta konten dan kandungan, pesanan kami telah melonjak lebih lima kali ganda pada jualan 11.11 berbanding hari biasa.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada TikTok Shop kerana merealisasikan impian keusahawanan saya, walaupun saya menghadapi cacat pertuturan akibat kemalangan enam tahun lalu,” katanya.
Pengasas Shiffa Curry Powder Nor Faridah Sariff pula berkata melalui #JomLokal, TikTok Shop menyediakan pelbagai sumber penting bagi memacu pertumbuhan perniagaan dalam talian dan memperluas capaian pelanggan.
“Dari permulaan sederhana sehingga di peringkat ini, kami teruja menyaksikan bagaimana ‘Shoppertainment’ mampu mengangkat perniagaan kecil ke tahap baharu. Jualan 11.11 adalah satu pencapaian penting buat kami.
“Pesanan kami telah melonjak lebih daripada lima kali ganda berbanding hari biasa, yang melebihi jangkaan kami. Kami amat bersyukur atas sokongan berterusan daripada TikTok Shop untuk membawa cita rasa Pulau Pinang yang unik ke seluruh negara,” katanya.
Bagi pasangan usahawan di sebalik Empat Beranak, Mohd Azri Aris dan Nina Nadia Sahim, perusahaan itu mencapai kenaikan pesanan tiga kali ganda pada jualan 11.11 berbanding hari biasa dengan sokongan #JomLokal yang komprehensif.
“Aspirasi perniagaan kecil kami adalah untuk mencipta wangian yang mengimbau kenangan manis, dan TikTok Shop telah membantu kami berkongsi visi ini bersama pelanggan di seluruh negara.
“Kami berterima kasih kepada TikTok Shop kerana membantu mengubah minat kami kepada perusahaan yang berjaya. Semoga kisah kami dapat memberi inspirasi kepada usahawan tempatan lain,” katanya.
Menjelang jualan 12.12 yang bakal tiba, TikTok Shop menggalakkan usahawan baharu, PMKS tempatan, dan jenama tempatan untuk mendaftar sebagai penjual di Pusat Penjual TikTok Shop di pautan (https://seller-my.tiktok.com/account/register) dan meneroka kursus tutorial yang sistematik di Akademi TikTok Shop (https://seller- my.tiktok.com/university/home).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial