KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Kalangan komuniti usahawan bumiputera tidak seharusnya terhad kepada syarikat-syarikat di Semenanjung sahaja, tetapi perlu turut melibatkan syarikat dari Sabah dan Sarawak, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata demikian selepas Pengerusi Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Bumiputera (BBEA) 2024, Datuk Dr Muhamad Iqbal Mohamad mengumumkan bahawa BBEA 2025 akan diperluas kepada komuniti perniagaan di Sabah Dan Sarawak.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata langkah ini merupakan kemajuan misi BBEA untuk mengenal pasti selain memberi penghargaan kepada komuniti bisnes yang bertapak di dua negeri itu.
"Saya gembira dengan inisiatif ini yang menonjolkan komitmen kita dalam memperjuang keterangkuman dan menghargai sumbangan syarikat-syarikat di seluruh negara dalam memperkasa ekonomi Malaysia," katanya ketika berucap merasmikan majlis BBEA 2024 di sini, hari ini.
Fadillah berkata usaha itu penting memandangkan sumbangan perniagaan bumiputera terhadap ekonomi Malaysia amat jelas.
“Pada 2023, syarikat milik bumiputera memainkan peranan penting dalam menerajui perkembangan sektor-sektor seperti pembinaan, perkhidmatan dan pembuatan.
"Syarikat-syarikat bumiputera juga mencatatkan prestasi hebat dalam peningkatan ekspot dengan produk dan perkhidmatan tempatan yang berjaya dipasarkan di ASEAN, China serta Timur Tengah," katanya.
Sementara itu, penganjuran BBEA 2024 yang kini memasuki edisi keempat, bertujuan meraikan pencapaian usahawan, perniagaan, dan tokoh korporat bumiputera Malaysia.
Lebih 300 tetamu menghadiri BBEA 2024 yang turut memberi penghormatan kepada lebih 60 usahawan dan pemimpin korporat pelbagai industri di atas sumbangan cemerlang dalam inovasi dan pertumbuhan ekonomi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial