KOTA KINABALU, 29 Nov (Bernama) -- Kerajaan Sabah akan menambah baik dasar kuota 30 peratus bumiputera dalam perumahan swasta serta mengurangkan karenah birokrasi dalam urusan jual beli lot rumah golongan itu, kata Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Beliau yang juga Menteri Kerajaan dan Perumahan Sabah berkata penambahbaikan yang mula dikuatkuasakan Ahad ini antara lain tidak lagi membenarkan pemaju untuk menetapkan lot rumah untuk dijual kepada pembeli berstatus bumiputera seperti yang diamalkan sebelum ini.
“Ini akan memberi hak kepada pembeli berstatus bumiputera untuk memilih lot rumah yang mereka inginkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dr Joachim berkata turut dikuatkuasakan adalah pemansuhan larangan menjual semula lot rumah milik pembeli berstatus bumiputera, membolehkan pemilik rumah terbabit menjual rumah mereka tanpa sekatan.
Beliau berkata apa-apa diskaun atau rebat yang diberikan oleh pemaju kepada pembeli bukan bumiputera, hendaklah ditambah diskaun lima peratus kepada pembeli yang berstatus bumiputera.
“Ini bermakna jika pembeli bukan bumiputera mendapat 15 peratus diskaun atau rebat, maka pemaju perumahan swasta tersebut hendaklah memastikan pembeli berstatus bumiputera mendapat diskaun sebanyak 20 peratus.
“Kerajaan percaya dengan dasar baharu ini, lot rumah milik bumiputera akan mencapai peningkatan nilai pasaran yang setaraf dengan lot rumah yang dimiliki golongan bukan bumiputera,” katanya.
-- BERNAMA.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial