AM

Sultan Pahang Titah Agensi Berkaitan Kemas Kini Data Ramalan Cuaca Dan Banjir Lebih Kerap

01/12/2024 08:08 PM

RAUB, 1 Dis (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan pihak berkuasa terlibat lebih kerap mengemas kini data ramalan cuaca dan kejadian banjir yang berlaku di negara ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah maklumat terkini itu amat penting kepada rakyat terutama mereka yang tinggal di lokasi berisiko dilanda bencana tersebut.

"Saya ingin mengingatkan, berdasarkan pada laporan kaji cuaca kita dijangka akan menghadapi cuaca tidak menentu pada pertengahan dan hujung bulan ini. Ini bermakna, air pasang laut akan meningkat dan kalau hujan turun lebih lebat akan menyebabkan (berlakunya) limpahan air sungai (dan) kampung di tepi sungai akan terkena banjir.

"Kita minta data yang tepat daripada pihak Meteorologi Malaysia dan agensi terlibat perlu mengumumkannya secara rasmi lebih kerap sedikit, diharap juga semua rakyat dengar laporan yang sah," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kampung Lechar di sini hari ini.

Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Al-Sultan Abdullah bertitah penduduk di kawasan rendah perlu lebih bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini bagi mengelak berlakunya tragedi tidak diingini termasuk kehilangan nyawa. 

Baginda turut bertitah agar ibu bapa dan ahli keluarga mengawasi anak masing-masing dan tidak membiarkan mereka bermain berhampiran sungai, longkang mahupun parit. 

"Apabila dapat arahan daripada pegawai atau pasukan keselamatan untuk berpindah, harap mereka dapat berpindah secepat mungkin untuk selamatkan diri dan keluarga dahulu. Saya ingin menasihatkan perkara ini, supaya tidak berlaku kehilangan nyawa pada musim tengkujuh ini," titah baginda. 

Al-Sultan Abdullah juga pada masa sama turut mendoakan kejayaan cemerlang kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) termasuk mangsa banjir yang akan menduduki peperiksaan itu, bermula esok.

 Pahang menjadi negeri terbaharu dilanda banjir apabila 26 PPS dibuka di daerah Raub, Jerantut dan Lipis bagi menempatkan seramai 1,217 mangsa daripada 416 keluarga. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan