KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Dasar Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (DRR), punca kenaikan kes jenayah pinjaman wang tidak berlesen dan penipuan kewangan serta isu Kampung Bharu menjadi antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) bertanyakan Perdana Menteri sama ada DRR akan dipercepat untuk membolehkan semua fasiliti mega mitigasi banjir disegerakan termasuk Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3), susulan bencana banjir dalam skala luar biasa kini yang melanda seluruh negara dan akan menempuh beberapa gelombang, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Dalam sesi sama, Perdana Menteri turut dijadualkan menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang ingin tahu punca kenaikan kes dan langkah pencegahan terhadap jenayah pinjaman wang tidak berlesen serta jenayah penipuan kewangan secara dalam talian atau bersemuka.
Sementara itu, Azli Yusof (PH-Shah Alam) meminta Perdana Menteri menyatakan status rayuan tuntutan pampasan yang lebih adil oleh kumpulan minoriti yang menolak tawaran pemaju di Kampung Sungai Baru, Kampung Bharu, di sini, dengan mereka telah diberikan pampasan hanya sepertiga daripada pampasan yang diterima oleh kumpulan yang menerima tawaran pampasan oleh pemaju di peringkat awal, pada sesi soal jawab.
Turut menarik perhatian, soalan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) kepada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam mengenai mekanisme terkini berkaitan sumber nadir bumi (REE) bagi membolehkan hasil bumi mentah dapat dieksport dan memberikan pendapatan kepada kerajaan negeri.
Usai sesi itu, persidangan diteruskan dengan sesi perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa oleh kementerian terlibat, yang memasuki hari terakhir hari ini.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung 35 hari bermula 14 Okt hingga 12 Dis.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial