PUTRAJAYA, 2 Dis (Bernama) -- Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn akan mengadakan lawatan kerja ke Malaysia dari 2 hingga 4 Dis, bertujuan untuk meningkatkan kerjasama dan penglibatan dengan Malaysia dalam memastikan kejayaan Kepengerusian ASEAN-Malaysia pada 2025.
Dalam lawatannya, Dr Kao dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri.
Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, selaku Menteri penyelaras bagi tonggak Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC).
Setiausaha Agung ASEAN itu juga akan bertemu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, menteri-menteri penyelaras bagi tonggak Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan tonggak Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) serta Ketua Audit Negara Malaysia, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.
Dalam pertemuan-pertemuan itu, Malaysia akan berkongsi mengenai persiapan keseluruhan bagi Kepengerusian pada 2025 kepada Setiausaha Agung, termasuk bidang-bidang keutamaan dan keberhasilan yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan, menurut kementerian.
“Perbincangan juga akan menyentuh mengenai tema Kepengerusian ASEAN iaitu Keterangkuman dan Kemampanan dan sokongan yang akan diberikan oleh Sekretariat ASEAN kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dalam memperkukuh lagi koordinasi dan sinergi merentasi ketiga-tiga tonggak Komuniti ASEAN.
“Sokongan dan nasihat berterusan daripada Sekretariat ASEAN kepada semua kementerian dan agensi yang terlibat, khususnya dalam memelihara memori institusi dan penyediaan dokumen penting, akan memainkan peranan penting dalam memperkukuh inisiatif pembinaan Komuniti ASEAN serta rangka kerja institusinya,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial