JENAYAH & MAHKAMAH

MTL: Empat Kematian Akibat Banjir Direkodkan Di Terengganu

03/12/2024 12:05 PM

KUALA TERENGGANU, 3 Dis (Bernama) -- Banjir yang melanda Terengganu sejak bulan lepas menyaksikan empat nyawa telah terkorban akibat bencana itu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata kematian terbaharu direkodkan semalam  melibatkan anggota di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Dungun, Wan Muhamad Firdaus Wan Nasir, 36, yang ditemukan lemas di Ladang Kelapa Sawit, Felda Kerteh 3 di Ketengah Jaya, dekat Dungun.

Beliau berkata pada petang Sabtu, Wan Muhamad Firdaus pergi ke ladang kelapa sawit itu bersama-sama seorang rakan untuk mengambil beg duitnya yang tertinggal di dalam raga motosikal yang ditinggalkan di dalam ladang bersama sebuah lori.

“Semasa perjalanan pulang, mangsa (Wan Muhamad Firdaus) yang menunggang motosikalnya telah hanyut dibawa arus manakala rakannya menaiki lori, namun lori itu rosak dan tidak dapat dihidupkan. 

“Rakan mangsa berjaya diselamatkan oleh orang kampung pada 5 petang, Ahad manakala mangsa tidak ditemukan pada ketika itu. Sebelum itu mangsa sempat menghubungi isterinya pada 10 malam Sabtu, menyatakan dia telah terkandas di dalam ladang bersama rakannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khairi berkata gerakan mencari mangsa dilakukan dan mayat dijumpai pada 2.15 petang semalam oleh pihak bomba dan orang kampung. 

Beliau berkata selain itu, seorang warga emas turut menjadi mangsa banjir di negeri ini iaitu Tuan Jusoh Tuan Hassan, 66, yang ditemukan lemas di kawasan sawah di Jalan Kampung Pinang, Besut pada 28 Nov lepas.

Tuan Jusoh yang menjadi korban pertama banjir telah keluar untuk memukat ikan di kawasan sawah itu bersama-sama tiga rakannya dengan menaiki sampan.

“Sampai di tempat kejadian, mangsa telah terjun ke dalam air untuk memasang kayu bagi mengikat pukat namun tidak timbul. Rakan-rakannya kemudian meminta bantuan daripada penduduk kampung untuk mencari mangsa,” katanya menambah mayat Tuan Jusoh ditemukan di kawasan berkenaan pada 10.10 pagi hari sama.

Mohd Khairi berkata dua beradik turut menjadi korban akibat tanah runtuh di rumah mereka di Kampung Bukit Apit di Ajil dekat Hulu Terengganu pada 29 Nov lepas, kira-kira 4.50 petang.

Beliau berkata mangsa pertama Puteri Sajidah Azman, 16, berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dan polis pada 6.30 petang manakala mangsa kedua Siti Fatimah, 13, dikeluarkan pada 7 malam.

"Hasil siasatan mendapati runtuhan tanah berlaku dari bukit di belakang rumah mereka yang berjarak lebih kurang 30 meter dan ketika itu hujan lebat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan