NILAI, 3 Dis (Bernama) -- Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud menzahirkan rasa bangga atas pencapaian Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang mengangkat nama universiti itu dalam pelbagai bidang.
Tuanku Aishah Rohani yang juga Canselor USIM bertitah kejayaan itu hasil kerja keras akademik, staf pentadbiran dan pelajar yang sentiasa komited menaikkan nama universiti di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Baginda bertitah antara program dilaksanakan ialah penganjuran Simposium Antarabangsa Malaysia MADANI yang mengumpulkan pemimpin Islam dalam pelbagai bidang dan Konvokesyen Khas Syeikhul Azhar.
"Kejayaan simposium dan konvokesyen khas ini mengukuhkan kedudukan USIM dalam kalangan dunia Islam. Penjenamaan USIM lebih bermakna apabila Perdana Menteri mengumumkan USIM akan menjadi Pusat Latihan Bahasa Arab kepada mereka yang ingin melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir," titah baginda pada Majlis Konvokesyen USIM kali ke-22 di sini hari ini.
Turut berangkat Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menyaksikan istiadat pemasyhuran dan perisytiharan Pro-Canselor baharu kepada anakanda baginda Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz.
Tuanku Aishah Rohani turut berkenan menyempurnakan lantikan Pro-Canselor kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar.
Dalam pada itu, baginda bertitah pelajar USIM juga mencipta pelbagai kejayaan cemerlang dan membanggakan nama universiti menerusi penyertaan pelbagai pertandingan, seminar dan program mobiliti outbound.
Tuanku Aishah Rohani bertitah peluang sebegini menjadikan pelajar lebih berdaya saing dan berkeyakinan untuk berinteraksi di pentas global dan pihak universiti sentiasa memastikan kaedah dan suasana pembelajaran memenuhi keperluan semasa seperti penerapan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Graduan USIM, titah baginda adalah perintis kemajuan agama dan masyarakat serta bakal menjadi pemimpin meneruskan tradisi kecemerlangan bagi memacu Malaysia menjadi negara maju.
Selain itu, baginda bertitah graduan perlu bijak dalam mengintegrasikan ilmu agama dan sains agar dapat memberi keseimbangan dalam menyelesaikan masalah dan membina kehidupan yang lebih sejahtera.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial