KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Isu perjawatan dan sumber manusia perkhidmatan Parlimen bagi membolehkan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Perkhidmatan Parlimen akan diperhalusi dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) Isnin depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata perkara itu perlu dibincangkan sebelum RUU Akta Perkhidmatan Parlimen dan RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
Beliau berkata beberapa sesi libat urus, mesyuarat dan kajian tinjauan telah dilakukan sejak tahun lepas, bersama antaranya Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat serta Setiausaha Dewan Negara dan Rakyat.
“Selain itu, ia turut melibatkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Kewangan, Jabatan Peguam Awam dan Badan Bukan Kerajaan.
“Turut serta Pertubuhan Masyarakat MADANI, Badan Peguam serta BHEUU (Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang) bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan dengan penetapan dasar serta pewujudan Akta Perkhidmatan Parlimen,” katanya menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Dewan Negara.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Senator Rita Sarimah Anak Patrick Insol mengenai keberhasilan reformasi institusi selain status usaha meningkatkan pengasingan kuasa badan eksekutif dan perundangan negara yang dicadangkan melalui pengembalian semula perundangan Akta Perkhidmatan Parlimen.
Media sebelum ini melaporkan satu mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan isu perjawatan serta sumber manusia perkhidmatan Parlimen akan diadakan tahun ini bagi membolehkan RUU berkenaan dibentangkan secepat mungkin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial