AM

PINDAAN AKTA 655 PERKUKUH KAWAL SELIA INDUSTRI PERKHIDMATAN AIR - FADILLAH

12/12/2024 02:48 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) akan memperkukuhkan kawal selia industri perkhidmatan air, sekali gus membolehkan isu kritikal berkaitan industri tersebut ditangani dengan segera.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menjelaskan bahawa pindaan ini bertujuan memastikan akta tersebut lebih relevan serta mampu memenuhi keperluan negara pada masa depan.

"Setelah lebih 18 tahun Akta 655 berkuat kuasa, beberapa ruang penambahbaikan telah dikenal pasti yang melibatkan pindaan terhadap peruntukan sedia ada dan juga pelaksanaan dasar baharu.

"Langkah ini penting untuk memastikan akta ini kekal relevan seiring dengan perkembangan semasa dan berupaya memenuhi keperluan masa hadapan industri perkhidmatan air negara," kata beliau.

Fadillah berkata tujuan utama pindaan akta itu kerana mengambil kira insiden pencemaran sumber air yang kerap berlaku sehingga menyebabkan gangguan bekalan air, dan kesusahan kepada pengguna.

"Rang Undang-undang (RUU) ini menumpukan terhadap 13 peruntukan melibatkan seksyen sedia ada dengan fokusnya kepada elemen pemberatan hukuman dan penyenaraian kesalahan baharu," katanya.

RUU Industri Perkhidmatan Air (Pindaan) 2024 antara lain bagi membolehkan mahkamah memerintahkan pihak yang melakukan pencemaran membayar kos bagi memulihkan sistem bekalan air.

Selain itu, ia juga bertujuan meminda Seksyen 121 Akta 655 untuk menjadikan tindakan mencemarkan sumber air, yang membawa kepada pemberhentian sementara atau penutupan sistem bekalan air, sebagai suatu kesalahan.

RUU tersebut turut mencadangka peningkatan penalti sebagai langkah pencegahan, memandangkan pencemaran sistem bekalan air memberi kesan besar kepada pengguna. Ia juga memperkenalkan subseksyen baharu (1A) dalam Seksyen 61 Akta 655, yang melarang pelepasan efluen terlarang dan bahan lain ke dalam tangki septik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan