EKONOMI

LHDN Terima 107.5 Juta e-invois Sejak Ogos Lepas

19/12/2024 07:44 AM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif & Previnna Thuraisingam

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerima 107.5 juta e-invois daripada pembayar cukai sejak sistem itu dilaksanakan pada 1 Ogos lepas.

Pengarah Bahagian e-Invois Jabatan Operasi Cukai LHDN Dr Rasyidah Che Rosli berkata sambutan tersebut merupakan perkembangan positif yang diterima daripada pembayar cukai bagi fasa pertama pelaksanaan sistem itu serta penyertaan lebih awal secara sukarela oleh pihak yang sepatutnya melakukan pada fasa dua dan fasa tiga.

“Ini boleh dikatakan pencapaian positif dengan lebih 35 peratus (pembayar cukai) yang menjalankan (e-Invois) secara sukarela," katanya kepada Bernama ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di sini, Rabu.

Ruang Bicara kali ini mengupas tajuk ‘Persediaan Menuju Pelaksanaan e-Invois Fasa Kedua'.

E-Invois merupakan invois dalam format digital representasi yang mengandungi maklumat transaksi antara penjual dan pembeli termasuk maklumat sedia ada seperti jenis barang, kuantiti, harga, jumlah yang perlu dibayar, maklumat cukai dan sebagainya.

Semua pembayar cukai di Malaysia yang menjalankan aktiviti komersial diwajibkan untuk melaksanakan e-Invois dengan garis masa pelaksanaan yang berbeza bergantung pada pendapatan atau jualan tahunan.

Rasyidah berkata LHDN menyasarkan sebanyak 14,000 pembayar cukai bagi pelaksaan e-Invois fasa dua yang akan bermula 1 Januari depan.

Beliau berkata kalangan yang terlibat adalah pihak berpendapatan atau yang memperoleh jualan tahunan antara RM25 juta hingga RM100 juta.

“Kita (LHDN) ada memberikan tempoh kelonggaran enam bulan bagi setiap fasa pelaksanaan itu sekurang-kurangnya untuk (pembayar cukai) mengeluarkan e-Invois yang disatukan (iaitu e-Invois yang menggabungkan semua transaksi jualan bagi setiap bulan)," katanya.

LHDN turut memberikan sokongan kepada para pembayar cukai bagi melancarkan pelaksanaan e-Invois mereka dengan menyediakan garis panduan dan soalan lazim mengenai sistem itu di Laman Mikro e-Invois HASiL, katanya.

Rasyidah berkata pembayar cukai juga boleh melaksanakan e-Invois melalui Portal MyInvois yang  menyediakan video penerangan kaedah pelaksanaan pembayaran tersebut.

Beliau berkata LHDN juga menyediakan mekanisme penghantaran e-Invois melalui integrasi Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API) dengan Sistem MyInvois HASiL yang membolehkan pembayar cukai memilih untuk membangunkan sistem sendiri atau menggunakan perkhidmatan pembekal teknologi.

“Kita juga mempunyai pegawai khas yang melaksanakan sesi libat urus di setiap negeri yang  memberikan penerangan berkenaan pelaksanaan e-Invois.

"Selain itu, kita juga menyediakan meja bantuan khas untuk e-Invois jika ada apa-apa isu berkaitan dengan operasi atau teknikal untuk mereka hubungi," katanya.

Orang ramai boleh melayari portal rasmi HASiL di www.hasil.gov.my/e-invois atau menghubungi talian 03-8682 8000 untuk sebarang pertanyaan mengenai e-Invois.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan