Oleh Zairina Zainudin
KUALA LUMPUR, 25 Dis (Bernama) -- Ketika 2024 hampir menutup tirainya, industri automotif dilihat begitu menyerlah bukan sahaja kerana mencatatkan jualan kenderaan yang lebih baik daripada jangkaan tetapi juga dengan pelancaran kenderaan elektrik (EV) pertama buatan Malaysia yang begitu dinanti-nantikan.
e.MAS 7, model sulung EV pertama Malaysia keluaran Proton Holdings Bhd yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Dis lepas, menandakan satu langkah penting dalam usaha Malaysia ke arah penggunaan kenderaan elektrik selaras dengan matlamat mobiliti mampan negara.
Pelancaran EV itu yang juga merupakan satu lagi peristiwa penting bagi pengeluar kereta nasional tersebut, dijangka meningkatkan permintaan dalam pasaran EV yang sedang berkembang pesat dan memacu jualan kereta secara keseluruhan.
Tambahan pula, berdasarkan trend kegemaran semasa pengguna terhadap kereta baharu, para penganalisis dan pakar industri percaya jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) bagi 2024 akan mengatasi 2023, menandakan tahun ketiga berturut-turut industri itu mencatatkan pencapaian tertinggi sepanjang masa.
Pemacu utama pertumbuhan termasuklah permintaan mampan dalam segmen mampu milik, pelancaran baharu yang menarik, ekonomi domestik yang kukuh, penyerahan pesanan yang cepat dan strategi promosi agresif berterusan daripada pengeluar kereta.
Tahun ini, industri automotif Malaysia berkembang dengan lancar, menunjukkan daya tahan dan kebolehsuaian yang mencerminkan pertumbuhan mantap dan inovasi berfikiran ke hadapan.
Jualan Kukuh
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebelum ini mengunjurkan jumlah TIV pada 2024 sebanyak 740,000 unit, tetapi menyemaknya semula pada Julai kepada 765,000 unit memandangkan pertumbuhan positif pada separuh pertama tahun ini.
Bagi tempoh Januari dan Jun 2024, jumlah TIV meningkat 6.6 peratus tahun ke tahun kepada 390,296 unit daripada 366,176 unit dalam tempoh yang sama pada 2023, disokong terutamanya oleh prestasi kukuh dalam subsegmen kereta penumpang yang menyumbang peningkatan kuantiti jualan terbesar.
Keyakinan berterusan MAA mendorongnya menyemak semula TIV pada November kepada 800,000 unit.
Persatuan itu melaporkan jualan kenderaan setakat November 2024 meningkat sebanyak 1.4 peratus kepada 731,534 unit, meningkat daripada 721,392 unit dalam tempoh yang sama tahun lepas.
TIV Kenderaan penumpang meningkat 3.0 peratus tahun ke tahun kepada 670,650 unit, manakala TIV kenderaan perdagangan turun 17 peratus kepada 60,884 unit.
"Kami percaya industri automotif akan mencapai satu lagi rekod (jualan tertinggi) tahun ini," kata presiden MAA Mohd Shamsor Mohd Zain kepada Bernama.
Sehingga Oktober 2024, Perodua mendahului persaingan jualan kereta di Malaysia dengan 294,090 unit, diikuti Proton (122,462 unit) dan Toyota (102,163 unit).
Manakala bagi jenama lain, jualan Honda dipacu oleh model Civic, City dan HR-V serba baharu yang popular; Nissan dengan Serena S-Hybrid, Navara dan Almera Turbo yang berwajah baharu; diikuti Proton dengan X70, X50 dan X90 serba baharu; Perodua (Alza serba baharu, Axia serba baharu, MyVi, Bezza dan Ativa); Toyota (Vios, Yaris, Corolla Cross dan Hilux serba baharu); dan Mazda (CX-5, CX-8 dan CX-30).
Bagi pengeluaran pula, kira-kira 725,173 kenderaan telah dikeluarkan pada Januari-November 2024, meningkat 3.0 peratus tahun ke tahun daripada 708,376 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Ini termasuk 683,262 kenderaan penumpang (+3.0 peratus tahun ke tahun ) dan 41,911 kenderaan perdagangan (-7.0 peratus tahun ke tahun).
MAA menjangkakan TIV bagi Disember 2024 akan lebih tinggi berbanding November berikutan promosi akhir tahun yang agresif, terutamanya oleh syarikat yang tahun kewangannya berakhir pada 31 Dis 2024.
Kenderaan Elektrik Semakin Diterima Ramai
Pertumbuhan dalam industri automotif Malaysia juga disokong oleh jualan EV, yang melonjak sebanyak 112 peratus kepada 6,617 unit pada Separuh Pertama 2024 daripada 3,117 unit yang didaftarkan pada tempoh yang sama 2023.
Sebanyak 15,884 kenderaan hibrid dijual pada Separuh Pertama 2024, menjadikan jumlah kenderaan elektrik (xEV), termasuk hibrid, hibrid plug-in dan EV yang dijual di negara itu dalam dalam tempoh tersebut kepada 22,501 unit.
Walaupun data itu sudahpun mengagumkan, namun secara rasmi jumlah ini masih tidak termasuk 3,079 kenderaan yang dijual oleh Tesla dalam tempoh tersebut memandangkan pengeluar kereta Amerika itu bukan anggota MAA.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini mengumumkan bilangan xEV di atas jalan berjumlah 33,319 unit setakat 30 Sept, kira-kira 5.0 peratus daripada TIV.
Penggunaan EV yang semakin meningkat di negara ini adalah disebabkan oleh peningkatan minat pengguna, dasar kerajaan yang menyokong, inisiatif dan pembangunan infrastruktur.
Sebagai contoh, EV yang diimport sepenuhnya (CBU) pada masa ini diberi pengecualian duti import dan eksais penuh sehingga akhir Disember 2025, manakala kenderaan dipasang tempatan (CKD) dikecualikan daripada cukai eksais dan jualan sehingga akhir Disember 2027.
“Insentif cukai ini perlu dilanjutkan sehingga 2030 selaras dengan sasaran kerajaan untuk mencapai 15 peratus xEV menjelang 2030,” kata Mohd Shamsor.
Selain itu, pengeluar gergasi EV seperti BYD dan Tesla, serta Stellantis -- pengeluar kereta keempat terbesar di dunia dan penyedia penyelesaian mobiliti utama -- telahpun memasuki pasaran Malaysia, sekali gus meningkatkan lagi pengembangan industri
Proton, melalui cabang kenderaan tenaga baharunya PRO-NET, mencipta sejarah dengan pelancaran e.MAS 7, EV pertama oleh pengilang peralatan tulen Malaysia (OEM).
Bagi stesen pengecas pula, setakat 30 Sept 2024, lebih daripada 3,171 stesen telah dipasang di seluruh negara termasuk 813 pengecas pantas arus terus (DC).
Kerajaan mengekalkan sasaran 10,000 stesen pengecas EV dipasang di negara ini menjelang akhir 2025.
Subsidi Diesel, E-Invois Jadi Tumpuan
Pada 10 Jun, program rasionalisasi subsidi diesel bersasar dilaksanakan untuk menguruskan subsidi dengan lebih cekap dan membendung penyeludupan serta penyalahgunaan bahan api bersubsidi, yang boleh memberi penjimatan sehingga RM4 bilion setiap tahun kepada kerajaan.
Langkah itu yang tidak dinafikan merupakan satu langkah yang tidak popular terutamanya bagi rakyat Malaysia yang telah menikmati subsidi sejak sekian lama, menyaksikan harga runcit diesel naik kepada RM3.35 seliter daripada harga subsidi menyeluruh pada RM2.15.
Ramai penganalisis berpendapat langkah itu tidak akan memberi kesan yang teruk kepada pengguna kerana kenderaan diesel hanya berjumlah kurang 12 peratus daripada jumlah keseluruhan kenderaan di seluruh negara.
Tambahan pula, kerajaan juga mengambil pendekatan bermurah hati dalam pemberian subsidi bersasarnya kepada penerima dan sektor yang layak.
Kenderaan menggunakan diesel terdiri daripada trak pikap, van dan kenderaan perdagangan yang digunakan terutamanya dalam sektor pembinaan, perladangan, logistik, pelancongan dan pengangkutan, selain sebagai kegunaan persendirian.
Selain subsidi bersasar tumpuan dalam industri auto juga tertumpu kepada pelaksanaan e-invois yang bertujuan meningkatkan ketelusan dalam urus niaga kewangan.
Kenanga Investment Bank Bhd baru-baru ini berkata impak e-invois ke atas jualan kereta dijangka terhad memandang kempen agresif pengeluar memberikan diskaun dan rebat untuk mengekalkan permintaan dan mengurangkan kebimbangan pengguna
Bank pelaburan itu berkata e-invois berkesan dalam menghentikan amalan meluas menawarkan pembiayaan sewa beli 100 peratus, walaupun, di bawah Akta Sewa Beli 1967, pelanggan dikehendaki membayar bayaran pendahuluan minimum 10 peratus untuk pembelian kenderaan.
Prospek Cerah bagi Sektor Automotif
Industri automotif tempatan dijangka bertambah rancak tahun depan memanfaatkan dasar bersasar kerajaan, gaji yang bertambah baik serta kelebihan meskipun berdepan cabaran daripada keutamaan pelanggan dan persaingan.
Oleh itu, unjuran bagi 2025 masih kekal optimis walaupun terdapat perubahan yang mungkin berlaku dalam dasar subsidi bahan api RON95 dan persaingan sengit dalam kalangan pemain industri.
Di bawah Belanjawan 2025, kerajaan bercadang untuk menamatkan subsidi menyeluruh bagi bahan api RON95 pada separuh kedua tahun ini.
Ramai menjangkakan sistem harga dua peringkat akan diperkenalkan, yang mana hanya kumpulan pendapatan T15 dan warga asing akan membayar pada kadar pasaran.
Penyelarasan ini tidak dijangka memberi kesan ketara kepada OEM negara, yang kebanyakannya memenuhi segmen B40 dan M40.
Segmen kereta mampu milik dijangka terus berkembang maju, disokong oleh subsidi bersasar dan model gaji progresif.
Kenaikan gaji penjawat awam, antara 7.0 peratus hingga 15 peratus pada Disember 2024, juga akan meningkatkan kuasa beli, mengimbangi tekanan inflasi.
Bagaimanapun, segmen pasaran pertengahan dijangka berdepan cabaran kerana kumpulan M40 mungkin menangguhkan pembelian atau memilih kenderaan yang lebih kecil untuk mengurangkan kos bahan api yang le tinggi.
Selain itu, industri turut menyaksikan persaingan lebih sengit daripada OEM China yang menawarkan model pada harga kompetitif dengan ciri-ciri termaju, mewujudkan tekanan ke atas pemain yang sudah lama berada dalam pasaran.
Dari sudut positif, ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar AS dijangka dapat mengurangkan kos alat ganti automotif menjelang Separuh Kedua 2025, seterusnya meningkatkan margin keuntungan.
Mohd Shamsor berkata walaupun pasaran xEV masih kecil, EV dijangka mencatatkan pengembangan lebih besar dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, memanfaatkan dasar kenderaan bersih dan hijau kerajaan.
Namun begitu, perlu ada keseimbangan antara penekanan kepada kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE)/hibrid dan EV, katanya.
“Ini bagi memastikan kedua-duanya wujud bersama untuk meminimumkan sebarang kesan buruk terhadap ekosistem semasa yang mungkin membawa kepada perpindahan tenaga kerja dan kemampanan perusahaan kecil dan sederhana mengeluarkan alat ganti dan komponen untuk kenderaan ICE/hibrid.
“Selain itu, kenderaan hibrid juga kini lebih cekap dalam penjimatan bahan api dan mesra alam,” kata Mohd Shamsor.
Sebagai imbasan, xEV yang dijual tahun lepas berjumlah 38,214 unit, lebih tinggi daripada 22,619 unit pada 2022 dan 8,153 unit pada 2021.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial