EKONOMI

FPAM Sambut Baik Usaha BNM Hadkan Kenaikan Premium Insurans Kesihatan

21/12/2024 06:38 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- Persatuan Perancang Kewangan Malaysia (FPAM) menyambut baik langkah Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengehadkan kenaikan premium tahunan bagi insurans perubatan dan takaful pada 10 peratus.

Presiden FPAM Alvin Tan bagaimanapun menegaskan bahawa kos perubatan yang meningkat dan penggunaan penjagaan kesihatan harus ditangani bagi mengelak kenaikan premium yang ketara selepas 2026.

“Penyelesaian jangka panjang yang mampan amat diperlukan untuk memastikan produk MHIT  (insurans/takaful perubatan dan kesihatan) kekal mampu milik untuk semua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tan juga menggesa rakyat Malaysia yang baru-baru ini menamatkan polisi mereka kerana pelarasan premium supaya menghubungi ejen insurans atau pengendali takaful (ITO) mereka untuk pengembalian semula polisi mereka di bawah arahan BNM bagi mendapatkan premium yang lebih rendah.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kebangsaan Insurans Hayat dan Penasihat Kewangan Malaysia (NAMLIFA) Krishnan Appanu menggesa agar ITO bersikap lebih telus dalam memanjangkan tempoh perubahan premium selama sekurang-kurangnya tiga tahun untuk semua pemegang polisi yang terjejas.

“BNM harus memastikan ITO mengeluarkan notis terperinci dan telus mengenai kuantum kenaikan dan menyediakan pilihan yang adil untuk pemegang polisi,” katanya kepada Bernama.

Krishnan berkata pemegang polisi yang semakin berusia juga menghadapi kesukaran dengan kenaikan premium tahunan yang berpotensi menyebabkan insurans perubatan tidak mampu dimiliki ketika ia amat diperlukan.

Semalam, BNM mengumumkan langkah interim termasuk menghendaki ITO menawarkan produk MHIT alternatif pada premium yang sama atau lebih rendah bagi pemegang polisi yang tidak mahu meneruskan pelan dengan harga pelarasan baharu.

Krishnan dalam pada itu berkata penukaran pelan menyediakan pilihan praktikal untuk ramai pemegang polisi, tetapi memberi amaran supaya tidak mengurangkan kadar perlindungan.

Kementerian Kesihatan (KKM) baru-baru ini mengumumkan rancangan untuk mengkaji semula Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] bagi mengukuhkan rangka kerja kawal selia sektor kesihatan swasta.

Mengulas pengumuman itu, Krishnan berkata langkah ini boleh membantu mengekang inflasi perubatan yang tinggi dan mendorong penetapan semula harga premium insurans perubatan.

KKM harus memastikan penetapan harga rawatan yang telus, munasabah dan kos efektif untuk pelbagai penyakit, sementara pengumpulan sumber ITO bagi perkongsian data pengebilan terperinci pesakit boleh membantu membendung harga berlebihan bil rawatan yang diinsuranskan, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan