EKONOMI

PMKS Terus Capai Kemajuan Pada 2024 Dalam Persekitaran Cabaran Digital

22/12/2024 11:40 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia terus menunjukkan kemajuan tahun ini dalam persekitaran yang mencabar untuk menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran dan anjakan pengawalseliaan, terutamanya dalam peralihan ke arah ekonomi yang mengutamakan digital.

Pada masa yang sama, PMKS juga berhasrat untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi menangani halangan perdagangan dan mewujudkan lebih banyak peluang, sambil terus memainkan peranan penting sebagai tulang belakang sektor perniagaan negara.

 

Cabaran dan Kemajuan untuk PKS Mengutamakan Pendigitalan 

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA), Datuk William Ng menegaskan bahawa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang telah menerima pendigitalan sedang berkembang maju.

Bagaimanapun, perniagaan tradisional yang masih belum menerima pakai teknologi baharu ini dilihat sedang bergelut untuk meningkatkan jualan mereka, membuktikan bahawa mereka perlu untuk mahir secara digital bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka dalam era teknologi terkini.

Ng berkata dari segi pemulihan pasca pandemik, ia amat menggalakkan, terutamanya bagi PKS dalam sektor seperti semikonduktor, perkhidmatan perniagaan, pertanian dan kecerdasan buatan (AI).

“Namun, perniagaan dalam sektor peruncitan, contohnya, terpaksa berdepan dengan pengguna yang cenderung memilih e-dagang dan penglibatan pemain asing, terutamanya dari China.

"Keadaan ini menyebabkan kos sewa yang lebih tinggi dan penurunan dalam kedua-dua jumlah dan nilai jualan," katanya.

Selain itu, keperluan pematuhan berkaitan pelaporan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang semakin meningkat menyebabkan banyak PKS tidak bersedia, memaksa mereka melalui jalan yang sukar untuk mematuhi keperluan yang ditetapkan, katanya. 

Ng berkata PKS yang menerima pendigitalan dan AI dalam operasi mereka sejak awal lagi telah mendapat manfaat daripada fleksibiliti teknologi itu, kerana ia membolehkan mereka beroperasi dari mana-mana sahaja, dan pekerja boleh bekerja dari rumah apabila perlu.

"Malangnya, banyak perniagaan tradisional bergelut untuk menyesuaikan diri, yang mengakibatkan margin keuntungan menurun dan jualan tidak berubah," katanya.

Justeru itu, demi membantu mereka menyesuaikan diri dalam keadaan ini, SAMENTA telah menjalankan lebih 12 seminar dan acara untuk menggalakkan pendigitalan PKS, termasuk dengan kerjasama agensi kerajaan seperti Perbadanan Produktiviti Malaysia, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan SME Corp.

"Kami merancang untuk memperhebatkan usaha ini pada 2025 bagi memastikan lebih banyak PKS dapat melakukan peralihan dengan jayanya," kata Ng.

 

Mengubah naratif untuk PKS

Ng juga menegaskan keperluan untuk memperluaskan naratif PKS terutamanya apabila 84 peratus terlibat dalam sektor perkhidmatan kerana memfokuskan kepada pembangunan industri dan eksport semata-mata adalah tidak mencukupi.

“Kita perlu menukar naratif daripada 'Buatan Malaysia' kepada 'Diinovasi-oleh-Malaysia' untuk membolehkan ekonomi kreatif kita, termasuk PKS yang terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan, penjenamaan dan reka bentuk pembungkusan, runcit, perkhidmatan kewangan, latihan dan pengedaran sektor mendapat manfaat daripada jenama nasional yang lebih kukuh,” katanya.

Beliau berkata SAMENTA akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan untuk mengurangkan kos dan halangan bagi PKS menjalankan perniagaan. 

“Kami boleh terus memberi insentif kepada PKS untuk memasuki sektor pertumbuhan tinggi, bernilai tinggi, tetapi majoriti PKS lebih prihatin terhadap isu yang lebih asas. 

“Oleh itu, mengekalkan inflasi rendah dan mengurangkan kerenah birokrasi di semua peringkat kerajaan, akan jauh lebih membantu daripada sebarang jumlah geran atau insentif,” kata Ng.

 

Sokongan Kerajaan Untuk PKS

Kerajaan di bawah Belanjawan 2024 memperuntukkan RM44 bilion khusus bagi pinjaman dan jaminan pembiayaan bagi PKS.

Dari Januari hingga Ogos, sejumlah RM5.76 bilion pembiayaan disediakan kepada 261,651 usahawan PKS melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Langkah ini membantu meningkatkan kapasiti dan keupayaan PKS melalui program pembangunan bersepadu dan bersasar, seperti Program Pembangunan Kapasiti Vendor 2.0, yang melibatkan 30 syarikat vendor dengan peruntukan RM3.5 juta.

Menurut KUSKOP, setakat 30 Sept 2024, SME Corporation Malaysia mula melaksanakan Program Pemecut Perniagaan untuk 197 usahawan PMKS dengan peruntukan RM34.12 juta.

Pada 19 Sept, Jabatan Perangkaan (DOSM) melaporkan bilangan PKS meningkat daripada 907,065 pada 2015 kepada 1.07 juta pada 2022, manakala keluaran kasar meningkat daripada RM1.0 trilion pada 2015 kepada RM1.3 trilion pada 2022, mencerminkan kepentingan PKS yang semakin meningkat kepada ekonomi.

Oleh itu, tidak mengejutkan bahawa PKS menyumbang 39.1 peratus atau RM613.1 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara tahun lepas.

Sektor perkhidmatan dan pembuatan pula merupakan penyumbang utama kepada KDNK PKS, mewakili 84.8 peratus daripada jumlah keseluruhan, dengan sektor pertanian menyumbang 9.1 peratus, diikuti pembinaan (4.5 peratus) dan perlombongan dan kuari (0.5 peratus).

 

Kesan Rasionalisasi Diesel dan Kemungkinan RON95 terhadap Perniagaan

Mengenai rasionalisasi subsidi diesel, Ng menyatakan kebimbangannya tentang potensi pemansuhan subsidi bahan api RON95.

“Justeru, jika boleh, kita minta kerajaan tidak menghapuskan subsidi RON95 secara mendadak sebaliknya dilakukan secara berperingkat supaya PKS dapat menyesuaikan diri dan menyerap kos operasi yang meningkat.

“Jika tidak, ia akan menyebabkan harga barangan meningkat sekitar 30 hingga 50 peratus jika dilaksanakan sekali gus,” katanya.

-- BERNAMA  


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan