EKONOMI

Kerajaan Anjur FEM2025 Pada 9 Januari

26/12/2024 01:25 PM

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Kerajaan dijadualkan menganjurkan Forum Ekonomi Malaysia (FEM2025) pada 9 Jan 2025, platform utama untuk merangka keutamaan dan dasar Malaysia bagi tahun 2025.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyampaikan ucaptama pada FEM2025.

“Pelbagai topik utama akan dibincangkan termasuklah inovasi dan teknologi, peluang pelaburan di Malaysia, peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN dan strategi menghadapi cabaran ekonomi global.

“FEM2025 bakal menghimpunkan pemegang taruh dari pelbagai sektor untuk membincangkan isu ini,” katanya dalam catatan di laman Facebook hari ini.

Menurut laman web FEM2025, acara tahunan ini akan memantau kemajuan inisiatif kerajaan dalam jangka masa sederhana dan menetapkan naratif bagi tahun akan datang.

“Dengan Malaysia mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN pada 2025, "Seizing Malaysia’s Moment" mengiktiraf kekuatan asas negara untuk merebut peluang yang menanti di hadapan,” katanya, sambil menambah forum sehari itu akan menghimpunkan pemimpin berpengaruh daripada akademia, industri dan kerajaan.

Penceramah terkemuka pada forum itu termasuklah Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Selain itu, Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Muhamad Umar Swift.

Topik yang terdiri daripada dasar fiskal dan monetari, teknologi hingga pembaharuan pendidikan, setiap panel akan turut disertai seorang menteri Malaysia.

“Dasar menteri, digabungkan dengan pandangan daripada ahli panel yang pakar, akan mendorong kepada dialog yang dinamik dan mencetuskan idea baharu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan