JENAYAH & MAHKAMAH

APMM Perkasa Infrastruktur Dan Aset, Pastikan Kedaulatan Perairan Terpelihara

04/02/2026 12:36 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Pembangunan dan kerja-kerja menaik taraf kompleks zon maritim di lokasi strategik menjadi teras utama pemerkasaan infrastruktur Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam memastikan keberkesanan operasi keselamatan perairan negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) APMM Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata ketika ini agensi itu mengoperasikan kompleks zon maritim di beberapa lokasi strategik termasuk Semporna dan Kudat di Sabah; Labuan; Miri (Sarawak); Tok Bali (Kelantan) serta beberapa lokasi di sepanjang Pantai Timur Semenanjung.

"Kompleks maritim di barisan hadapan bukan sahaja mewujudkan pusat operasi komprehensif dengan peralatan terkini, malah memastikan pegawai dan anggota dapat melaksanakan tugas dengan lebih efisien dan selesa.

"Kemudahan ini turut dilengkapi pusat kawalan operasi, sokongan logistik dan teknikal yang membolehkan masa tindak balas terhadap sebarang kejadian di laut, termasuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilaksanakan dengan lebih pantas," katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.

Media sebelum ini melaporkan APMM menerima peruntukan RM2.29 bilion dalam Belanjawan 2026 yang akan ditumpukan kepada perolehan aset strategik, pembangunan infrastruktur serta penerapan teknologi moden.

Sepanjang tahun lepas APMM dilaporkan berjaya menyelamatkan 1,765 nyawa serta harta benda bernilai RM1.8 bilion, selain nilai rampasan RM102.9 juta menerusi lebih 248,000 pemeriksaan di laut melibatkan 1,124 kes tangkapan.

Mengenai pengukuhan armada, Saiful Lizan berkata APMM kini dalam proses perolehan aset moden termasuk Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) dan Pesawat Rondaan Maritim (MSA) yang dijangka diterima pada akhir tahun hadapan, selain empat helikopter Medium-Lift AW189 dengan yang pertama dijangka diterima pada Julai ini.

Beliau berkata perolehan aset berteknologi tinggi itu akan membolehkan agensi berkenaan melaksanakan operasi dalam tempoh lebih lama serta jarak yang lebih jauh.

APMM, katanya sedang giat mengintegrasikan elemen teknologi moden termasuk sistem pemantauan bersepadu, radar, analitik data dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi mendapatkan maklumat sahih pada masa nyata bagi memastikan masa tindak balas segera terutama dalam operasi menyelamat.

"Bagi aset sedia ada pula, kita (APMM) melaksanakan penyelenggaraan berstruktur melalui program  Ship Life Extension Program (SLEP), Refit dan Repowering. Menerusi penggantian peralatan utama dan kemas kini sistem, jangka hayat kapal yang berusia dapat dilanjutkan antara 10 hingga 15 tahun lagi," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata agensi itu bakal mengadakan sambutan Hari Ulang Tahun APMM ke-21 pada 15 Feb ini bertemakan “Maritim Diperkasa, Samudera Terpelihara” di Miri.

Pada sambutan itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dijadualkan merasmikan Kompleks Zon Maritim Miri, yang akan berfungsi sebagai pusat operasi barisan hadapan bagi menyelaras sokongan logistik di perairan Sarawak.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan