DUNIA

Kremlin Tolak Dakwaan Pertahanan Udara Rusia Tembak Jatuh Pesawat Azerbaijan Airlines 

27/12/2024 12:59 PM

ISTANBUL, 27 Dis (Bernama-AA) -- Rusia menolak spekulasi bahawa pertahanan udaranya menjadi punca pesawat penumpang Azerbaijan Airlines terhempas berhampiran bandar Aktau, Kazakhstan yang mengorbankan 38 nyawa, lapor Agensi Anadolu. 

“Adalah tidak wajar membuat andaian sebelum hasil siasatan dikeluarkan,” kata jurucakap Kremlin Dmitry Peskov pada Khamis.

Pesawat yang membawa 67 penumpang dan anak kapal itu dilaporkan dalam perjalanan dari Baku ke Grozny, apabila ia terhempas 3 kilometer dari Aktau di pantai Laut Caspian.

Dalam kejadian itu, seramai 29 mangsa terselamat termasuk dua kanak-kanak.

Azerbaijan dan Kazakhstan telah melancarkan siasatan berhubung insiden itu. 

Terdahulu pada Khamis, pegawai kanan Azerbaijan mengesahkan kepada Anadolu bahawa nahas itu disebabkan oleh sistem peluru berpandu Rusia. 

Namun, pihak berkuasa penerbangan awam Rusia, Rosaviatsia menegaskan bahawa nahas mungkin berpunca daripada perlanggaran burung.

Pesawat malang itu dilaporkan tersasar dari laluan di Laut Caspian sebelum terhempas. 

Pihak berkuasa Kazakhstan dan Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev menyeru agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi, sambil menyatakan cuaca buruk mungkin menyebabkan pesawat itu terpaksa mengubah haluan. 

Insiden berlaku di tengah-tengah peningkatan aktiviti pertahanan udara Rusia yang menyasarkan dron Ukraine di rantau terbabit.

Data penerbangan awam menunjukkan gangguan GPS di kawasan berkenaan, menimbulkan lebih banyak persoalan.

Bagaimanapun, Peskov menegaskan bahawa sebarang kesimpulan hanya boleh dibuat selepas siasatan rasmi selesai dijalankan. 

-- BERNAMA-AA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan