AM

Larangan Merokok Di Dobi Dapat Sambutan Baik Pengusaha

01/01/2025 04:26 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Langkah kerajaan memasukkan premis dobi sebagai lokasi baharu dalam senarai kawasan larangan merokok yang berkuat kuasa hari ini mendapat sambutan baik dalam kalangan pengusahanya.

Tinjauan Bernama di beberapa dobi layan diri di sekitar ibu negara mendapati kebanyakan premis yang dilawati menampal tanda larangan merokok di pintu masuk serta sudut utama premis dan pelanggan dilihat mematuhi larangan tersebut.

Peniaga dalam talian Sharifah Gemma Al-Habshi, 58, ketika ditemui di sebuah dobi berkenaan berkata beliau menyokong langkah yang diambil kerajaan dan berasa lebih selesa serta tidak lagi terganggu dengan asap rokok.

“Kadang-kadang bila menunggu pakaian (dibasuh dan dikeringkan), saya akan berada di dobi untuk masa yang lama dan saya tidak selesa kalau ada bau asap rokok.

“Saya berharap penguatkuasaan akan diteruskan agar dapat mewujudkan persekitaran yang sihat dan selesa,” katanya. 

Pembantu kedai makan Khalijah Mohd Din, 61, yang sering menggunakan perkhidmatan dobi layan diri berkata usaha yang diambil premis untuk mematuhi akta tersebut sangat penting sekali gus akan menjadikan ia sebagai tempat mesra keluarga.

“Setakat ini tiada lagi yang merokok di dalam premis dobi sebaliknya mereka merokok di luar kawasan dobi. Baguslah langkah yang diambil kerajaan,” katanya.

Pada 4 Okt lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilapor berkata premis dobi dan bangunan tempat kerja menjadi lokasi baharu tersenarai dalam kawasan larangan merokok berkuat kuasa 1 Jan, susulan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) pada 1 Okt tahun lepas.   

Dr Dzulkefly berkata ia menjadikan 28 tempat larangan merokok secara keseluruhan diwartakan di bawah Akta 852 itu.

Antara kawasan dilarang merokok lain yang diwartakan ialah kawasan hospital atau klinik, lif atau tandas awam, tempat makan, kedai berhawa dingin, bangunan hentian pengangkutan awam, kawasan lapangan terbang kecuali kawasan atau bilik merokok yang telah diluluskan, kawasan premis kerajaan dan kawasan institusi pendidikan atau institusi pendidikan tinggi.

Turut tersenarai ialah pusat hiburan atau teater kecuali kasino, kawasan taman asuhan kanak-kanak, kompleks beli-belah, stesen minyak, perpustakaan, kafe Internet, stadium, pusat kecergasan atau gimnasium serta di dalam bas sekolah dan kenderaan awam.

Sementara itu, tinjauan di beberapa kedai makan pula mendapati tahap pematuhan larangan merokok dalam kalangan pengusaha dan pelanggan semakin baik.

Pengusaha makanan pencuci mulut Abdul Rahman Salan, 60, ketika ditemui berkata kebanyakan pelanggan khususnya lelaki akan ke kawasan luar premis untuk merokok.

Pengusaha Restoran Ali Maju Cafe Aaseq Farhat Anwar, 21, pula berkata beliau mengambil inisiatif menasihati mereka yang merokok di premisnya untuk tidak merokok.

“Masih ada yang merokok walaupun kami sudah tampal tanda larangan di pelbagai tempat. Kadang-kadang apabila kami tegur barulah mereka berhenti,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan