GEORGE TOWN, 1 Jan (Bernama) -- Peraturan kawasan larangan merokok di premis dobi mulai hari ini menerusi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), merupakan langkah terbaik sekali gus membantu Malaysia menuju ke arah negara yang sihat.
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) NV Subbarow berkata ini berikutan tindakan merokok oleh orang awam di premis dobi tidak dapat dikawal, malah pihaknya sering menerima aduan mengenai tindakan perokok di kawasan tersebut termasuk bangunan tempat kerja serta perhentian bas.
“CAP sangat gembira dengan penguatkuasan berkenaan mulai hari ini. Kami juga minta pihak penguat kuasa agar tidak beri kelonggaran kepada perokok yang tidak patuhi undang undang.
“Kami minta agar tidak hanya beri amaran tetapi membawa pesalah terus ke mahkamah, supaya perokok sedar bahawa penguatkuasaan bukan sekadar nasihat,” katanya kepada Bernama hari ini.
Bermula hari ini, bangunan dobi antara 28 kawasan diwartakan sebagai larangan merokok susulan penguatkuasaan Akta 852, selain bangunan tempat kerja kerajaan dan swasta, pusat hiburan atau teater (kecuali kasino), hospital dan klinik, lif atau tandas awam, tempat makan, kedai berhawa dingin serta mana-mana kawasan yang digunakan bagi aktiviti perhimpunan.
Sementara itu, tinjauan Bernama di beberapa lokasi di sekitar kawasan Bukit Mertajam mendapati orang ramai dilihat semakin patuh kepada peraturan kawasan larangan merokok dan tiada pengguna merokok di premis dobi yang diwartakan sebagai larangan merokok.
Seorang pengguna di sebuah premis dobi di Bandar Perda, Nazli Mohd Rashid, 37, berkata tiada sesiapa yang datang untuk mencuci atau mengeringkan pakaian di situ yang menghisap rokok, malah terdapat poster larangan merokok di situ sejak tahun lepas lagi.
Beliau berkata walaupun dia sendiri seorang perokok, namun tidak merokok di kawasan larangan termasuk di pusat dobi kerana di situ selalunya ramai pelanggan lain termasuk golongan wanita dan kanak-kanak.
“Sejak Akta 852 dikuatkuasakan, kita boleh tengok ramai perokok yang tidak menghisap rokok di kawasan larangan kerana kami bimbang dikenakan kompaun, lebih baik tak hisap rokok daripada kena bayar kompaun,” katanya kepada Bernama.
Bagi seorang lagi pengguna di sebuah pusat dobi di Permatang Pauh Nor Hazlia Ramli, 40, keputusan kerajaan yang mewartakan bangunan dobi sebagai tempat larangan merokok adalah sangat tepat dan lebih-lebih kepada pengguna perkhidmatan dobi layan diri.
“Selama saya menggunakan perkhidmatan dobi layan diri ini memang jarang la jumpa perokok menghisap rokok di sini, tetapi dengan larangan tersebut saya rasa ia lebih baik kerana jika ada yang menghisap rokok mungkin pengguna lain boleh terus buat aduan atau menegur perokok,” katanya yang merupakan seorang akauntan.
Ros Anita Mohd Amir, 30, pula berharap pihak berkuasa dapat meningkatkan penguatkuasaan dan menjalankan rondaan, bagi memastikan tiada individu yang melanggar peraturan tersebut.
Beliau berkata tindakan tegas juga perlu dikenakan terhadap mereka yang ingkar dan terus merokok di kawasan larangan, kerana ia bukan sahaja mencemarkan udara malah memberi kesan buruk kepada orang lain.
“Sebelum ini nampak ramai yang hisap rokok di kedai-kedai makan namun sejak penguatkuasaan Akta 852 dilaksanakan, tiada lagi perokok dan saya harap lebih banyak penguatkuasaan dibuat supaya perokok memang betul-betul mengikut peraturan ditetapkan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial