JENAYAH & MAHKAMAH

Warga Emas, Tukang Urut Antara Pasangan Ditahan Dalam Operasi JAIM

01/01/2025 05:06 PM

MELAKA, 1 Jan (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas dan pasangannya wanita warga Thailand ditahan dalam Operasi Cegah Jenayah Syariah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sempena sambutan tahun baharu di sebuah hotel di bandar Melaka awal pagi tadi.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka Datuk Rahmad Mariman berkata peniaga berusia 60 tahun dan pasangannya berusia 42 tahun yang bekerja sebagai tukang urut itu antara tujuh pasangan berusia 21 hingga 60 tahun ditahan dalam operasi itu.

Beliau berkata operasi terbabit yang melibatkan 42 pegawai penguat kuasa agama memeriksa 17 premis di sekitar bandar Melaka dan Alor Gajah bermula 12.30 tengah malam hingga 4.30 pagi tadi.

"Pasangan berkenaan ditahan berdua-duaan dalam sebuah bilik hotel ketika pemeriksaan dijalankan dan siasatan awal mendapati lelaki warga emas itu telah berkahwin.

"Pasangan itu mendakwa mereka keluar berdua untuk menyambut tahun baharu dan menonton pertunjukan bunga api seterusnya memilih menginap di sebuah hotel kerana penat dan lewat malam untuk pulang ke rumah masing-masing," katanya dalam kenyataan hari ini.

Rahmad berkata kesemua ditahan di bawah Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1992 kerana bersekediaman dan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan