DUNIA

Ringgit Dijangka Diniaga Rendah Berbanding Dolar US Minggu Depan

04/01/2025 10:36 AM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Ringgit dijangka diniagakan rendah berbanding dolar US minggu depan, kekal dalam julat sempit minggu depan.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata data ekonomi Amerika Syarikat terutamanya tuntutan pengangguran, dijangka menunjukkan peningkatan berterusan selepas tuntutan pengangguran mingguan minggu lepas menurun sebanyak 9,000 kepada 211,000, iaitu paras terendah dalam lapan bulan.

“Bagi Januari, kami menjangkakan dolar US akan kekal kukuh, disokong oleh keyakinan pasaran susulan Donald Trump kembali menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS) ,” katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek juga berkata penyusutan nilai ringgit mungkin dapat dikawal oleh peningkatan aliran masuk dana asing ke dalam pasaran modal Malaysia.

"Dengan Wall Street mencapai rekod tertinggi, pengimbangan semula portfolio ke arah pasaran baharu muncul berkemungkinan memberikan sedikit kelegaan untuk ringgit," katanya.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd berkata mata wang tempatan menghadapi tekanan apabila dolar AS mengukuh dalam persekitaran keyakinan AS dan faktor Trump menjadi Presiden AS buat kali kedua.

“Walaupun asas makroekonomi Malaysia kekal stabil, data AS yang kukuh dan sikap berhati-hati pelabur terhadap Trump mungkin mengekalkan permintaan untuk aset selamat, mempengaruhi ringgit untuk didagangkan melebihi 4.50/USD,” katanya dalam nota penyelidikan.

Minggu depan, peniaga akan bersiap sedia untuk data tawaran pekerjaan AS, minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (Fed) AS bagi bulan Disember, laporan pekerjaan ADP dan laporan pekerjaan AS, kesemuanya penting dalam membentuk jangkaan untuk tinjauan kadar faedah bagi 2025.

Sepanjang minggu ini, ringgit kekal diniagakan kebanyakannya berbanding dolar US disebabkan peningkatan permintaan untuk mata wang selamat di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global yang berterusan, kebimbangan terhadap kemungkinan keputusan Fed AS untuk menurunkan kadar faedah pada 2025 dan data pekerjaan AS yang kukuh.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, ringgit merosot berbanding dolar US kepada 4.4975/5030 daripada 4.4680/4750 minggu lepas.

Bagi minggu ini, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan naik berbanding pound Britain kepada 5.5800/5869 daripada 5.5904/5991 sebelumnya dan meningkat berbanding euro kepada 4.6288/6345 daripada 4.6543/6616.

Bagaimanapun, ia susut berbanding yen Jepun kepada 2.8606/8643 daripada 2.8300/8346 ketika ditutup minggu lepas.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Ia menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.2828/2871 daripada 3.2846/2900 dan melonjak berbanding baht Thailand kepada 13.0540/0753 daripada 13.1023/1289 namun menguncup berbanding rupiah Indonesia kepada 277.6/278.1 daripada 275.4/276.1 dan berkurangan berbanding peso Filipina kepada 7.73/7.74 daripada 7.72/7.74 minggu lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan