AM

PM Mahu Semua Kementerian Tumpu Tingkat Keupayaan Bidang Pelancongan, Pelaburan, Ekonomi

06/01/2025 02:56 PM

SEPANG, 6 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua kementerian memberikan tumpuan untuk meningkatkan keupayaan dalam bidang pelancongan, pelaburan dan ekonomi dengan keterlibatan semua negeri menerusi Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata setiap negeri dan daerah di Malaysia mempunyai kekuatan masing-masing untuk menarik kehadiran pelancong.

“Malah untuk tahun ini dalam kita menjayakan (Kepengerusian) ASEAN, kita pastikan program kita menyiapkan semua negeri tanpa terkecuali, agar menjadi destinasi pelancong tahun ini dan tahun depan terutamanya.

“Saya telah minta semua kementerian memberikan tumpuan supaya Malaysia dapat meningkatkan keupayaan dalam bidang pelancongan, pelaburan dan ekonomi. Ini agar tidak ada kawasan atau negeri yang tersisih atau tertinggal,” katanya ketika berucap merasmikan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 di sini hari ini. 

Anwar berkata penglibatan menyeluruh daripada semua pihak itu dapat membantu negara mencapai unjuran pendapatan sebanyak RM147.1 bilion serta sasaran kedatangan pelancong seramai 35.6 juta melalui kempen berkenaan.

Perdana Menteri berkata dalam mempromosi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), keterangkuman menjadi pendekatan utama untuk mempromosikan kemampanan dan keharmonian negara dari segi warisan pelbagai budaya dengan asas budaya yang kukuh.

“Jadi impak Tahun Melawat Malaysia 2026 sebagaimana yang saya katakan, akan melangkaui industri pelancongan, yang termasuk merangkumi hospitaliti, pengangkutan, peruncitan, industri makanan.. dan faedah ekonomi akan dikongsi oleh masyarakat bandar dan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata rangka kerja MADANI itu sendiri adalah mengenai keterangkuman dalam memperjuangkan kemampanan, di samping pencapaian kualiti hidup yang lebih tinggi dan keharmonian antara pembangunan dan alam semula jadi.

Anwar turut merujuk kepada tawaran pelancongan Malaysia tersendiri, yang mencerminkan identiti berbilang kaum dan budaya.

"Ini bukan destinasi biasa, sebaliknya ia destinasi unik, mesra alam dan disulami dengan pelbagai budaya rakyat Malaysia yang cukup menawan, menjadi destinasi kepelbagaian budaya, kaya dan mampan, konsisten dengan tema kita," katanya.

Anwar turut memuji lagu tema kempen TMM2026 ‘Surreal Experiences’, dengan menyatakan bahawa ia memperlihatkan keunikan Malaysia dengan sempurna dan amat menarik minat generasi muda.

“Kalau lihat daripada lagu tema, dari awal cukup inklusif, mencakupi semua daerah, semua negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Apabila saya dengar irama ‘keunikan Malaysia’ yang diperdengarkan, ia sesuatu yang cukup menarik, saya perlu ucapkan terima kasih kepada (Datuk Seri) Tiong King Sing (Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya),” katanya.

Kempen TMM2026 dilancarkan dengan rasminya hari ini, menampilkan logo baharu, maskot, lagu tema dan corak yang akan dipaparkan pada kapal terbang.

Selain itu haiwan beruang matahari Malaya telah diperkenalkan sebagai ikon kempen rasmi, selaras dengan statusnya sebagai spesies terancam, yang melambangkan komitmen Malaysia terhadap pemuliharaan hidupan liar.

Haiwan itu diwakili oleh dua maskot, Wira dan Manja, yang mewakili keterangkuman dan kepelbagaian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan