SUKAN

THT Juara Piala Sumbangsih, Tamatkan Penguasaan Seteru TNB

05/01/2025 12:06 AM

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Terengganu Hockey Team (THT) membuka kempen saingan premier Liga Hoki Malaysia (LHM) 2025 dengan bergaya, apabila merampas kejuaraan Piala Sumbangsih selepas mengatasi juara bertahan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2-1 di sini, malam ini.

Pada aksi di padang 2 Stadium Hoki Nasional di Bukit Jalil di sini, malam ini, pemain kebangsaan Korea Selatan Jang Jong Hyun meletakkan TNB di hadapan selepas menyempurnakan pukulan penalti pada minit ke-27, namun THT pantas menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti Faizal Saari pada minit ke-30.

Jaringan kemenangan THT hadir pada suku ketiga perlawanan apabila Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, tidak berdepan masalah menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-42 sekali gus mengesahkan kejayaan pasukan.

Kejayaan itu mengubati kekecewaan THT yang tunduk kepada lawan sama pada edisi lepas, yang menyaksikan ia menyekat misi skuad dari Pantai Timur itu untuk merangkul gelaran Piala Sumbangsih buat kali ketiga berturut-turut.

Ketua Jurulatih THT Mohd Harfizi Baharom berkata anak buahnya berjaya melunaskan janji untuk meraih kejayaan tanpa mengheret perlawanan ke masa tambahan dan penentuan penalti.

“Pemain hari ini betul-betul dah set mentaliti mereka nak menang perlawanan ini tanpa penentuan pukulan penalti, nak menang bersih hari ini.

“Kalau kita tengok kita ada beberapa kekurangan yang akan diperbaiki pada sesi latihan terutama dari segi kombinasi pemain kita dan pemain import, jadi kita kena dapatkan kombinasi itu secepat mungkin,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan di sini.

Sebagai rekod, kemenangan THT malam ini menamatkan siri kemenangan berturut-turut TNB yang muncul juara treble pada edisi lepas.

Mohd Harfizi berkata segala kekurangan itu terutama dari segi kombinasi antara pemain akan cuba diperkemaskan lagi bagi menghadapi saingan liga selepas ini.

Terdahulu, dalam pertembungan Piala Sumbangsih kategori wanita menyaksikan Blue Warriors mendakap kejuaraan selepas mengatasi juara bertahan Malaysian University 1-0, dengan pemain kebangsaan Hanis Nadiah Onn muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-16.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan