KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi Isnin dengan lebih rendah susulan tindakan pelabur menjual saham mewah terpilih bagi kaunter perladangan dan perkhidmatan kewangan.
Pada 12.30 tengah hari ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut sebanyak 3.89 mata atau 0.23 peratus kepada 1,625.57 berbanding paras 1,629.46 pada akhir dagangan Jumaat lepas.
Indeks penanda aras itu dibuka menokok 0.28 mata kepada 1,629.74 dan diniagakan antara 1,623.83 hingga 1,631.71 pada sesi pagi.
Di pasaran secara meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 526 berbanding 397 dengan 490 kaunter lain tidak berubah, 940 tidak diniagakan dan 10 lain digantung dagangaannya.
Jumlah dagangan berjumlah 2.27 bilion unit bernilai RM1.38 bilion.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng memberitahu Bernama bahawa FBM KLCI di bawah paras 1,630 susulan aktiviti pengambilan untung yang berterusan.
“Di sebalik ketiadaan pemangkin baharu, kami percaya beberapa usaha pengumpulan saham akan berlaku. Ini berikutan kami menjangkakan kemungkinan dana asing meneliti semula Asia sebagai destinasi utama (pelaburan) susulan ketidaktentuan pasaran Amerika Syarikat (AS).
“Berikutan itu, indeks berkenaan dijangka menyaksikan pergerakan dalam julat 1,630-1,640 hari ini,” katanya.
Saham wajaran tinggi menyaksikan IOI Corporation naik dua sen kepada RM3.87 manakala Maxis and YTL Corporation masing-masing naik satu sen kepada RM3.65 dan RM2.75.
Selain itu, CIMB, MISC dan 99 Speedmart pula susut satu sen kepada RM8.10, RM7.60 dan RM2.41.
Bagi saham aktif, Velocity naik setengah sen kepada 7.5 sen, Top Glove menokok empat sen kepada RM1.37 dan Careplus meraih satu sen kepada 27 sen.
Namun, MYEG dan Velesto turun satu sen kepada 97.5 sen dan 15.5 sen.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas turun 5.58 mata kepada 12,528.06; Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 8.03 mata kepada 12,538.46 dan Indeks FBMT 100 susut 5.63 mata kepada 12,197.26.
Indeks FBM 70 melonjak 78.35 mata kepada 18,945.69 dan Indeks FBM ACE naik 1.26 mata kepada 5,473.82.
Bagi sektor, Indeks Perladangan susut 10.0 mata kepada 7,588.51; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.05 mata kepada 174.40; Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 37.13 mata kepada 18,985.93 namun Indeks Tenaga menokok 5.79 mata kepada 857.09.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial