PUTRAJAYA, 6 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) baru-baru ini telah menyelesaikan siasatan berkaitan dakwaan salah laku yang melibatkan pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang memberi kebenaran untuk melepaskan kontena yang dipercayai mengandungi sisa elektronik (e-waste) di Westports, Pelabuhan Klang.
EAIC dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pihaknya menerima maklumat awal mengenai kemungkinan salah laku berkenaan sekitar Mei 2024 dan telah menubuhkan sebuah pasukan petugas selaras dengan Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700) untuk menyiasat dakwaan tersebut.
“Hasil siasatan EAIC mendapati kontena-kontena yang dipercayai mengandungi sisa elektronik tersebut masih berada di Westports, Pelabuhan Klang. EAIC turut mengesahkan terdapat cubaan daripada Pegawai JAS untuk melepaskan kontena-kontena tersebut tanpa punca kuasa yang jelas dan justifikasi yang wajar,” menurut EAIC.
Hasil siasatan EAIC turut mengesahkan terdapat beberapa ketidakaturan seperti terdapat kebocoran maklumat dalaman berkaitan pertukaran pengarah atau pegawai dan pengarah atau pegawai baharu akan melepaskan kontena-kontena tersebut.
Didapati pihak atasan JAS gagal mengambil tindakan berhubung isu kebocoran maklumat itu dan terdapat kelewatan penyelesaian kertas siasatan oleh JAS berkaitan kontena.
Menurut EAIC, ia berpunca daripada kelemahan penyeliaan iaitu kelewatan pengendalian kes berkenaan yang boleh menyebabkan kerugian kepada kerajaan dan pencemaran alam sekitar yang tidak dapat dibendung.
Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk syor tindakan tatatertib diambil dan hukuman sewajarnya dikenakan terhadap pegawai yang terlibat kepada Pihak Berkuasa Tatatertib Kumpulan Pengurusan Tertinggi melalui Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
“EAIC turut mengesyorkan untuk mengemukakan cadangan penambahbaikan Prosedur Tetap Operasi JAS dan Arahan Tetap Operasi Penguatkuasaan JAS kepada Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam untuk tindakan selanjutnya,” menurut EAIC.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial