AM

Sistem HS-WIM Dijangka Mula Beroperasi Suku Ketiga Tahun Ini - Loke

06/01/2025 03:09 PM

PUTRAJAYA, 6 Jan (Bernama) -- Sistem "High Speed – Weight in Motion" (HS-WIM) yang dipasang bertujuan memantau muatan kenderaan berat secara automatik dijangka mula beroperasi suku ketiga tahun ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengenal pasti 10 lokasi di seluruh negara yang akan dipasang dengan sistem HS-WIM.

“Pelan induk melibatkan penguatkuasaan melalui HS-WIM akan dibangunkan bertujuan memperbanyak pemasangan sistem ini di tempat hot spot, seperti kawasan berisiko tinggi kemalangan dan aliran trafik yang tinggi.

“Saya telah memberikan arahan minggu lepas bahawa kita tidak mahu lagi melengahkan pelaksanaannya sebab tahun lepas kita telah buat bukti konsep dan ia telah pun siap, maka tahun ini mesti mula dengan pemasangan HS-WIM,” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2025, di sini hari ini.

Loke berkata pemasangan HS-WIM merupakan satu pendekatan baharu untuk memantau pergerakan kenderaan-kenderaan berat yang melebihi had muatan.

“HS-WIM ini menggunakan teknologi kamera … (kenderaan berat) lalu sahaja di sesuatu kawasan, adanya sensor, kita akan tahu sama ada kenderaan itu melebihi had muatan atau tidak dan kenderaan itu akan dirakamkan kamera.

“Jadi, kita akan tahu waktu kenderaan berat itu lalu di sana pukul berapa, berapa berat muatan, jadi kalau kenderaan lebih muatan, kita boleh keluarkan saman kepada pemilik kenderaan terbabit.

“Berbanding cara sekarang ini sangat manual. Kita kena tahan lori itu dan bawa ke stesen penimbang, baru kita dapat tahu sama ada ia melebihi had muatan atau tidak,” katanya.

Selain itu, Loke berkata pelaksanaan kamera "Automated Awareness Safety System" (AwAS) akan ditambah baik dengan melaksanakan kaedah point-to-point berbanding kaedah statik yang dilaksanakan sebelum ini.

Beliau berkata kaedah baharu itu membolehkan pemantauan kelajuan kenderaan dilakukan secara lebih menyeluruh dengan mengukur kelajuan purata kenderaan antara dua titik kamera berdasarkan jarak dan masa perjalanan.

Loke berkata pelaksanaan kamera AwAS ketika ini yang diletakkan di satu lokasi secara statik dilihat tidak mencapai objektif kementerian untuk mengurangkan kelajuan kenderaan seterusnya mengurangkan risiko kemalangan.

 “Apa yang kita nak menjurus kepada pendekatan baharu ialah kita sudah ada teknologi baharu … kita akan lihat antara dua titik checkpoints. Kita tidak mahu pemandu memperlahankan kenderaan hanya di depan kamera itu, tetapi (perlahan) dalam satu jarak yang tertentu.

“Katakan antara titik A dengan titik B, kita ingin tahu pemandu menggunakan masa berapa lama. Kalau dia menggunakan kurang daripada masa yang sepatutnya, maksudnya dia pecut dan akan dikenakan tindakan (saman),” katanya.

Beliau berkata untuk permulaan, pelaksanaan kaedah baharu itu akan dilakukan di kawasan-kawasan yang berbahaya dan berisiko tinggi, seperti kawasan berbukit di Lebuh Raya Kuala Lumpur–Karak (KLK) di Genting Sempah dan Terowong Menora, Ipoh.

“Objektif kita adalah untuk memastikan kenderaan itu perlahan terutamanya bas dan sebagainya supaya pemandu tidak memecut semasa mereka turun bukit.

“(Kaedah) sekarang kurang berkesan walaupun kita pasang kamera, kenderaan hanya perlahan di tempat itu dan selepas itu dia pecut semula,” katanya.

Beliau berkata MOT berharap melalui penambahbaikan sistem AwAS dengan mekanisme point-to-point, ia dapat menyumbang kepada penurunan kadar kemalangan jalan raya serta meningkatkan kesedaran dan disiplin pemandu di seluruh negara.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan